PRK Kuala Kubu Baharu: Jasa tiga ‘Tan Sri’ kepada UMNO - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Jasa tiga ‘Tan Sri’ kepada UMNO

Tan Sri
ANNUAR Musa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Tiga ‘Tan Sri’ didakwa menjadi individu paling berjasa kepada UMNO untuk memastikan survival politik parti itu ketika berdepan kekalahan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Antara jasa itu adalah untuk memastikan UMNO boleh berada dalam kerajaan supaya DAP tidak kembali berkuasa selepas Pakatan Harapan (PH) jatuh apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2020.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mereka yang berjasa itu adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Menurutnya, langkah pertama dilakukan oleh Abdul Hadi yang mengajak UMNO membuat penyatuan ummah dengan Pas selepas Barisan Nasional (BN) tewas kali pertama pada PRU14.

“Bercakap pasal jasa, saya minta izin hendak cerita beberapa kisah yang tak pernah diceritakan. Besarnya jasa PN PRU14, UMNO jadi pariah politik daripada memerintah bertahun-tahun jatuh tersungkur, kalah.

“UMNO pecat Muhyiddin, lepas itu diambil UMNO jadi kerajaan termasuk saya, lepas itu UMNO jatuhkan dia termasuk menteri dia, lepas itu UMNO buat keputusan supaya jawatan dia itu diberikan kepada orang UMNO. Tak besar ke jasa itu?

“Selagi ada sedikit saham (ahli UMNO), hendak jadikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Kita minta tolong pada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kot pada celah-celah itu kita cari sendiri, maka pada satu malam, kita cek di mana Noh, rupanya tengah makan dekat kondo Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita ok, kita tunggu, Noh turun, kita ambush. Lebih kurang begitulah, malam itu.

“Akhirnya, Noh turun dari rumah Najib, kita berbincang beberapa orang kawan-kawan yang ada, berunding, berfikir cara politik dengan Noh, yang masa itu Pas boleh setuju, orang lain setuju, yang tak setuju adalah UMNO yang buat perangai.

“Akhirnya Noh menggunakan peranannya dengan menggunakan ‘tongkat keramat’ dia bawa…kita hendak lima, dia bawa enam kawan-kawan dalam UMNO,” katanya dalam Ceramah Perdana PN, malam tadi.

Tambah Annuar, ketika itu beliau berada dalam ‘Geng 23’ yang menyokong kerajaan sementara Noh pula dalam ‘Geng 15’ yang menarik balik sokongan.

Oleh demikian, Annuar mengingatkan tiga individu itu adalah yang berjasa kepada UMNO, sebaliknya bukan DAP yang disifatkan menggunakan kesempatan menjadi kerajaan untuk menjatuhkan UMNO.

“DAP berjasa apa kepada UMNO? Dia hanya berjasa kepada Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), DAP sanggup jadi hipokrit, dahulu dia kata Zahid penyamun, kleptokrat, dia kata hendak sumbat Zahid dalam jel, dia sudah lupa. Sebab apa, bukan kerana dia hendak berjasa kepada Zahid, kerana dia tahu dia hendak menumbangkan kayu dia perlu cari kayu.

“Hendak lemahkan politik UMNO dia kena cari orang UMNO, sekarang dia tengok Presiden UMNO tengah lemah, dia sanggup berjanji bulan dan bintang sebagai cara untuk bunuh UMNO, supaya hanya dengan kayu barulah tumbang dengan kayu, kalau mata kapak walaupun besi, pokok tak tumbang sehingga ada kayu di hulu kapak.

“Maka Zahid adalah hulu kapak yang tak sedar hendak menumpang kekuatan politik orang Melayu dan Umat Islam,” selarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN