PETALING JAYA: Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) meramalkan masalah gangguan bekalan air dijangka berlaku di beberapa tempat di lima negeri susulan fenomena Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering serta taburan hujan yang lebih sedikit daripada kebiasaan.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), ia membabitkan enam daerah di Kelantan; Kedah (tiga); Melaka (dua) serta masing-masing satu daerah di Pulau Pinang dan Sarawak.
Jelasnya, daerah yang dijangka terlibat dengan gangguan tersebut adalah Sik, Baling, Kulim, Seberang Perai Utara, Alor Gajah, Melaka Tengah, Kuala Krai, Gua Musang, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Bintulu.
“Rentetan itu, terdapat satu empangan menunjukkan penyusutan baki stok simpanan air mentah dan berada pada paras kritikal (bawah 40 peratus) iaitu Empangan Muda di Kedah (30.48 peratus berbanding 32.87 peratus minggu sebelumnya).
“Selain itu, empat empangan menunjukkan baki stok simpanan air pada paras amaran (antara 41 hingga 50 peratus), iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis (45.65 peratus), Empangan Malut di Kedah (46.70 peratus), Empang Teluk Bahang di Pulau Pinang (44.50 peratus) dan Empangan Sembrong Barat di Johor (46.66 peratus).
“Pemantauan Jabatan Alam Sekitar menyaksikan Cheras (Kuala Lumpur), Port Dickson (Negeri Sembilan), Shah Alam dan Klang (Selangor) merekodkan kualiti udara yang tidak sihat (di antara 101 hingga 200) akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Nadma berkata, sebanyak 53 kes kumulatif penyakit berkaitan cuaca panas dicatatkan Kementerian Kesihatan setakat hari ini.
Ujarnya, lima kes melibatkan kes strok haba, 29 kelesuan haba dan 19 kes kejang haba.
“Kesemua kes berjaya dirawat dan pesakit dibenarkan pulang ke rumah. Tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ketujuh Minggu Epid (ME) 25/2023.
“Ini menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal satu kematian sahaja yang dilaporkan pada 25 April lalu,” katanya.
Pada masa sama, Nadma mengingatkan masyarakat untuk peka serta patuh kepada arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Pastikan anda merujuk kepada portal MetMalaysia, Kementerian Kesihatan dan Nadma untuk maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. -UTUSAN










