CAP gesa kementerian, MADA atasi masalah saliran di Perlis

CAP gesa kementerian, MADA atasi masalah saliran di Perlis, Kedah

KEADAAN sungai yang dipenuhi semak-samun akibat tidak diselenggara di Kampung Tok Pulau, Simpang Empat, Perlis semalam - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil tindakan segera dalam mengatasi masalah saliran yang sedang dihadapi oleh pesawah di Perlis dan Kedah.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah itu menyebabkan ribuan petani di Kampung Tok Pulau, Simpang Empat Perlis dan Kampung Pida 15, Sanglang, Kedah tidak dapat mengusahakan tanaman padi.

Katanya, keadaan yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu itu bukan sahaja menyebabkan para petani di kawasan berkenaan lewat memulakan kerja-kerja membajak dan menabur benih tetapi juga mengalami kerugian kerana kerosakan tanaman padi akibat pengaliran air keluar masuk ke sawah mereka tersekat.

“Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati sistem saliran sepanjang lebih kurang enam kilometer yang dibina di kawasan tersebut tidak diselenggara dengan baik. Keadaan itu menyebabkan sistem saliran gagal berfungsi secara berkesan bagi kerja-kerja penanaman dan penuaian padi di sini setelah dipenuhi semak samun dan tidak dibersihkan,” katanya sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 2,000 pesawah kawasan Simpang Empat dan Sanglang dilaporkan terjejas ekoran masalah sistem saliran yang menyebabkan mereka tidak dapat mengusahakan tanaman.

Para Pesawah mendakwa, saluran air sepanjang 6.5 kilometer dari Sungai Tok Pulau hingga Sungai Pida 15 di Jalan Sanglang, Kedah itu sepatutnya diselenggara MADA empat kali setahun namun hanya dilaksanakan sebanyak dua kali sahaja dalam tempoh berkenaan.

Tambah Mohideen, CAP memandang serius masalah yang dihadapi oleh petani di sini dan berharap pihak kementerian dan MADA menyiasat secara menyeluruh punca sebenar dan mengambil tindakan mengatasinya.

Katanya, CAP bimbang jika masalah tersebut berlarutan ia bukan saja menjejaskan kehidupan mereka tetapi juga bekalan makanan dan sektor pertanian negara pada masa akan datang.

Sementara, seorang petani, Syed Mahadi Syed Salim, 52, ketika ditemui memberitahu, dia mengalami kerugian besar akibat kemusnahan tanaman padi yang dialami pada musim menuai kerana air di dalam petak sawah tidak dapat keluar ke sungai berdekatan.

Katanya, masalah ini telah beberapa kali dikemukakan kepada pihak MADA tetapi tidak ada tindakan yang diambil.

Dalam pada itu, seorang lagi petani, Nikon Pin, 40, pula berkata, sungai dan saliran di kawasan berkenaan bukan saja dipenuhi semak tetapi juga semakin cetek.

Nikon berpendapat, selain kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan dengan lebih kerap, sungai dan saliran di sini juga perlu dikorek untuk membuang lumpur dan sisa mendapan di dalamnya.

Pesawah terbabit turut mencadangkan supaya kontraktor yang mengendalikan kerja-kerja pembersihan saliran dan sungai di sini tidak menyembur racun bagi tujuan itu kerana tindakan tersebut akan menyebabkan sisa tumbuhan mati akan mendap didasarnya seterusnya menjadi cetek serta menjejaskan keperluan dan pengaliran air di kawasan itu. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya