SEMENYIH: Semalam, genap 63 hari seorang lelaki warga emas berasal dari Indonesia meninggal dunia di Hospital Kajang akibat radang paru-paru teruk (severe pneumonia).
Bagaimanapun, apa yang menjadi tanda tanya adalah jasad, Allahyarham Basni Sabrah, 64, masih tersimpan dalam peti mayat di Unit Forensik, Hospital Kajang tanpa dikebumikan sehingga hari ini walaupun sudah disahkan meninggal dunia pada 12 April lalu.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado, berkata Allahyarham dirujuk ke pusat jagaan tersebut pada 18 Disember 2019 oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) Hospital Kajang disebabkan tiada waris yang menuntutnya selepas menerima rawatan.
Menurut beliau, sepanjang empat tahun berada di pusat jagaan tersebut tidak banyak yang diketahui mengenai latar belakang lelaki tersebut melainkan Allahyarham pernah berkahwin dan kemudiannya bercerai tanpa anak.
“Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 pagi, namun, jasadnya tidak boleh diuruskan untuk pengebumian memandangkan arwah adalah seorang warganegara Indonesia.
“SOP (prosedur operasi standard) hospital di Malaysia pula memerlukan surat kebenaran daripada kedutaan negara asal si mati bagi membolehkan jasad seseorang warganegara asing diambil untuk urusan pengebumian,” katanya ketika ditemui di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang.
Untuk rekod, Allahyarham Basni adalah pemegang MyKad merah (pemastautin tetap) beralamat di Parit 3, Ban 4 1/2, Sungai Burong, Sekinchan, Selangor.
Jelas Mohiadin, lebih merumitkan lagi keadaan adalah apabila pihaknya sehingga kini masih belum mendapat surat kebenaran daripada Kedutaan Indonesia untuk sekurang-kurangnya membantu menguruskan jenazah lelaki tersebut.
“Selepas arwah disahkan meninggal dunia, saya sebagai wakil pusat jagaan ini terus ke Kedutaan Indonesia pada hari sama untuk menyerahkan surat kematian sebagai prosedur bagi mendapatkan surat kebenaran daripada pihak kedutaan.
“Bagaimanapun, terdapat kesilapan teknikal daripada pihak Hospital Kajang apabila surat kematian arwah dicatatkan sebagai warganegara Malaysia.
“Selepas kesilapan itu diperbetulkan, surat kebenaran daripada pihak kedutaan masih tidak dapat dikeluarkan kerana menjadi prosedur pihak kedutaan untuk mencari waris terlebih dahulu jika seseorang warganegara mereka meninggal dunia,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Mohiadin, sehingga hari ini, waris arwah masih belum berjaya dijejaki pihak kedutaan sama ada di negara ini mahupun di Indonesia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga pernah cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung latar belakang arwah dengan harapan dapat menjejaki warisnya bagi membolehkan jasad warga emas tersebut dapat diuruskan secepat mungkin.
“Malangnya, permohonan untuk mengenal pasti identiti dan semakan ‘family tree’ melalui kad pengenalan arwah tidak berjaya.
“JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dalam satu surat pada 14 April lalu menyatakan bahawa maklumat salasilah keluarga bagi arwah tidak dapat dikeluarkan kerana tiada rekod ahli keluarga dicatatkan dalam sistem pengkalan data jabatan itu,” katanya.
Mohiadin berkata, kini pihaknya terpaksa menggunakan saluran wakil rakyat untuk membantu menyuarakan perkara tersebut di Dewan Rakyat dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya isu tersebut dapat diselesaikan dengan segera.
“Kalau kami mahu lepas tangan terhadap isu ini tak masalah pun, tapi arwah empat tahun tinggal di sini (pusat jagaan), jadi kami mahulah bantu untuk memudahkan urusannya walaupun sudah meninggal dunia.
“Selagi mana waris tidak ditemui selagi itulah jasad arwah akan terus berada dalam peti sejuk berkenaan. Kita bukan nak tuding jari kepada mana-mana pihak tapi urusan begini sepatutnya dipermudahkan,” katanya.
Pusat Jagaan Nur Hasanah adalah sebuah pusat jagaan warga emas di bawah seliaan di bawah Persatuan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) yang bertanggungjawab menguruskan warga emas yang dirujuk oleh pihak hospital kerana hidup sebatang kara atau ‘dibuang’ oleh ahli keluarga. -UTUSAN










