PETALING JAYA: Kepesatan teknologi maklumat terutama kecerdasan buatan (AI) dipacu aplikasi seperti Chat GPT berisiko menjejaskan periuk nasi golongan pekerja termasuk wartawan serta penulis kreatif, yang kepakarannya bakal digantikan oleh teknologi.
Malah, polisi kerajaan yang tunduk kepada desakan menaikkan kadar upah gaji minimum semakin memburukkan keadaan, mendorong syarikat menggantikan tenaga manusia kepada penggunaan teknologi AI yang kosnya lebih murah.
Sejak 2017, ancaman teknologi terhadap sektor pekerjaan menarik perhatian banyak pihak termasuk Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
KAJIAN
Dalam kertas kajian berjudul The Times They Are A-Changin: Technology, Employment, and the Malaysian Economy, KRI mengunjurkan bahawa 40 peratus daripada keseluruhan pekerjaan berkemahiran tinggi bakal digantikan dengan teknologi menjelang 2037.
“Mengikut tahap kemahiran, lebih daripada 70 peratus daripada semua pekerjaan separa mahir dan 80 peratus daripada semua pekerjaan berkemahiran rendah berisiko tinggi. Ini merentasi semua sektor ekonomi utama.
Pekerjaan mahir juga tidak terkecuali, kira-kira 40 peratus pekerjaan mahir berisiko sederhana,” kata penyelidik KRI, Allen Ng dalam laporan itu.
Lebih lima tahun berlalu sejak kertas kajian KRI itu dibentangkan, kepesatan teknologi AI memasuki dimensi lebih dahsyat apabila terkini, Chat GPT mula mengambil alih kerjaya wartawan serta penulis profesional di Amerika Syarikat (AS) sehingga mendapat perhatian akhbar arus perdana, The Washington Post.
PENGALAMAN
Dalam laporan 2 Jun lalu berjudul ChatGPT took their jobs. Now they walk dogs and fix air conditioners, akhbar itu menyiarkan pengalaman beberapa penulis profesional AS yang dibuang kerja kerana syarikat menggantikan mereka dengan Chat GPT.
Senario sama turut melanda Eropah apabila The Guardian pada 1 Mac lalu melaporkan bahawa kerjaya wartawan berisiko digantikan oleh sistem kecerdasan buatan seperti Chat GPT, ekoran keputusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan media Jerman Axel Springer bernama Mathias Doepfner.
Doepfner melakukan transformasi terhadap akhbar Jerman, Bild dan Die Welt supaya beralih kepada media digital seratus peratus.
Mengulas ancaman AI terhadap sektor industri kreatif tanah air, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai memberitahu, AI dan Chat GPT bukan saja memberi risiko kepada bidang kewartawanan malah hampir seluruh sektor perkhidmatan termasuk akademik.
“Ada kemungkinan besar AI dan Chat GPT akan menggantikan wartawan dan penulis kreatif, malah sektor akademik juga.
“Pelajar boleh menggunakan Chat GPT sebagai jalan pintas, mereka tak perlu belajar cukup sekadar menggunakan Chat GPT menjawab soalan dan boleh skor. Kalau ini tak dikawal, macam mana kita mahu membezakan pelajar cemerlang dengan tidak? soal beliau. – UTUSAN










