Wujud task force tangani lambakan warga asing

Wujud task force tangani lambakan warga asing

Pendaftaran pelarian di Malaysia oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dilaksanakan secara unilateral tanpa penglibatan agensi kerajaan - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani isu kebanjiran warga asing terutamanya membabitkan mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak berkata, jawatankuasa khas itu perlu dianggotai agensi penguat kuasa kerajaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, langkah itu perlu supaya agensi kerajaan dan NGO dapat bekerjasama mencari penyelesaian melibatkan kebanjiran warga asing yang semakin membimbangkan.

“Sekarang bukan masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi perlu ada kerjasama untuk mencari solusi.

“Jika benar kerajaan ada political will dalam tangani isu kebanjiran warga asing, maka wujudkan task force dan libatkan semua pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, masalah kebanjiran warga asing pelbagai negara bukan berpunca daripada kelemahan Jabatan Imigresen seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya ia disebabkan dasar kerajaan berhubung kemasukan warga asing.

Presiden Persatuan Pesara Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM), Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, kajian semula ke atas semua dasar membabitkan warga asing perlu dilakukan sebagai langkah mengawal keberadaan kumpulan itu di negara ini.

Mengulas lanjut, Halim berkata, MCCF sebelum ini juga sudah beberapa kali menyarankan supaya kerajaan kerajaan kembali semula kepada dasar asal dalam mengambil pekerja asing dari luar negara.

Katanya, ini kerana proses dasar lama tidak semudah dasar sedia ada.

“Kebanjiran warga asing di negara ini adalah disebabkan kartel atau sindiket agensi pekerja asing, ini semua orang tahu. Apabila mereka membawa masuk pekerja, tetapi tidak ada pekerjaan, maka itu yang menyebabkan berlakunya lambakan warga asing.

“Sepatutnya kerajaan tidak melantik agensi kecuali untuk pengambilan pekerja asing berkemahiran. Kalau setakat buruh biasa, saya rasa tidak perlu sebab kita ada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja,” katanya.

Justeru, beliau berharap, permohonan melalui proses penilaian pekerja asing dan saringan majikan hendaklah dijalankan dengan lebih telus.

“Kelulusan tentang keperluan ini yang perlu dipantau agar pekerja asing yang datang ke Malaysia benar-benar mendapat pekerjaan dan layanan sempurna oleh majikan-majikan yang berkelayakan dalam mendapat kelulusan mengajikan pekerja asing di setiap industri.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN