PUTRAJAYA: Wakil pembeli Aspire Residence, Cyberjaya menegaskan ketika ini mereka hanya menumpukan usaha terhadap tuntutan supaya projek perumahan berkenaan dapat disiapkan segera dan diserahkan pada September ini.
Menurut seorang wakil pembeli, Nur Aini Mohd Zaini, mereka juga berharap usaha beberapa tahun kebelakangan ini tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi masing-masing.
Jelasnya, ia susulan artikel yang disiarkan oleh sebuah portal bertajuk ‘Anak Syarikat SPNB berhadapan tindakan penggulungan, nasib pembeli rumah jadi tanda tanya’ yang disiarkan semalam.
“Wakil pembeli projek perumahan terbengkalai Aspire Residence kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan isu tuntutan mereka terhadap SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) untuk kepentingan sendiri.
“Portal berkenaan juga telah menggunakan foto pembeli Aspire Residence tanpa kebenaran yang mana kenyataan tersebut adalah bercanggah dan memesongkan pembaca,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kenyataan memesong tersebut didorong oleh sebuah syarikat yang dalam usaha menggulungkan syarikat SPNB Aspirasi Sdn Bhd berikutan hutang tertunggak sebanyak RM31,549,807.67.
Dalam pada itu, Nur Aini berkata, wakil pembeli turut menuntut agar pihak berwajib iaitu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Pejabat Ahli Parlimen Sepang mengambil serius untuk memastikan pihak SPNB mengotakan janji mereka untuk menyiapkan projek tersebut.
Pada 1 Mac lalu, media melaporkan projek Aspire Residence tidak lagi dikategorikan sebagai projek sakit kerana status pembinaannya sudah mencapai tahap 90 peratus sehingga dengan jangkaan penyerahan kunci pada September depan.
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, projek yang bermula pada tahun 2016 itu sepatutnya disiapkan pada 2019, namun tergendala sebelum disambung semula pembinaannya tahun lalu oleh syarikat kontraktor baharu.-UTUSAN