Tuntutan Sulu: PDRM buka siasatan unsur sabotaj

Tuntutan Sulu: PDRM buka siasatan unsur sabotaj

ACRYL SANI ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan berhubung isu tuntutan warga Filipina terhadap Malaysia yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang didakwa ancaman kepada keselamatan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas membuka siasatan di bawah Seksyen 124 (K) Kanun Keseksaan iaitu sabotaj.

Katanya, satu laporan dibuat Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud terhadap penuntut-penuntut yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

“Laporan dibuat susulan Notis Timbang Tara yang diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019 melibatkan anggaran tuntutan melebihi US$32 bilion.

“Tuntutan itu merupakan satu ancaman kepada negara,” katanya di sini, semalam.

Tegas beliau, PDRM memandang serius terhadap sebarang elemen yang boleh menggugat ketenteraman awam khususnya perbuatan sabotaj terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilan negara.

“Kita memberi jaminan siasatan terperinci berhubung perkara itu akan dijalankan,” katanya.

Pada 25 Mei lalu, Sekretariat Khas Sulu dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, laporan polis yang dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Putrajaya adalah susulan daripada tindakan tuntutan yang difailkan oleh penuntut mendakwa waris Jamalul Kiram.

Katanya, selepas insiden pencerobohan di Lahad Datu, Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013.

“Salah seorang penuntut iaitu Fuad A Kiram juga telah diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAATFUAA) pada 6 April 2023.

“Objektif laporan polis ini dibuat adalah dengan mengambil kira wujudnya elemen sabotaj ke atas ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara me­lalui tindakan agresif penuntut yang dipercayai bersubahat de­ngan menyalahgunakan proses timbang tara antarabangsa.

“Susulan daripada laporan ini, dipercayai satu siasatan jenayah akan dimulakan oleh pihak berkuasa demi menjamin ke­amanan, keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.

Pada 30 Julai 2019, satu notis timbang tara diserahkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.

Walaupun tidak mengiktiraf tuntutan tersebut, Kerajaan Malaysia telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Sabah yang mana penuntut tidak hadir ke prosiding berkenaan.

Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengan­dungi apa-apa peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN