Tinggalkan kawan lagha petanda haji mabrur

Tinggalkan kawan lagha petanda haji mabrur

Tengku Aziz menunjukkan kitab rujukan yang digunakan untuk mengetahui mengenai rukun dan wajib haji ketika ditemui di pejabatnya di Abraj, Janadriah, Mekah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah yang mengimpikan untuk mendapat umrah dan haji mabrur hendaklah berazam untuk berubah selain menjaga adab yang diiringi dengan doa dan harapan kerana ia merupakan anugerah Allah SWT kepada sesiapa sahaja dikehendakiNya.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, setiap rukun dan wajib dua ibadat tersebut hendaklah dijaga dan dilakukan dengan penuh keyakinan supaya tiada cacat cela dari segi hukum.

Katanya, jika melanggar rukun, jemaah akan dikenakan dam mengikut nilai yang ditetapkan sebagai denda kerana tidak mengikut syarat sah umrah atau haji.

“Dam bukanlah benda yang perlu dipersoalkan kerana ia menunjukkan ketaatan seseorang hamba itu mengikut perintah Allah SWT sekali gus dapat mendidik hati.

“Tauladan yang boleh diambil ialah seperti dalam kisah Nabi Ibrahim yang taat kepada perintah Allah supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail sebelum digantikan dengan kibas. Ini merupakan contoh keyakinan yang dapat dijadikan pengajaran,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Tengku Aziz, segala perbuatan seperti berihram, tawaf, saie, melontar dan tahalul di dalam dua ibadat tersebut sebenarnya hendak mengajar kita supaya taat kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT.

Tambahnya, mengikut Ibnu Hajar Al-Asqalani, terdapat tanda-tanda haji atau umrah itu diterima atau mabrur seperti seseorang itu berubah kepada lebih baik.

“Jika dahulu dia berkawan dengan orang tak tentu hala, selepas dia balik dia akan mencari rakan yang selalu mengingatkan dia kepada Allah. Dia juga akan menjaga solat dan kelakuannya selain sering ke majlis ilmu dan meninggalkan program lagha (sia-sia),” katanya.

Ujar Tengku Aziz, jemaah juga perlu menjaga adab dengan mengawal pertuturan di Tanah Suci dan segera memohon keampunan sekiranya terlepas cakap perkara buruk kerana selalunya ia dibayar secara ‘tunai’ di sini.

“Lebih baik berdiam daripada bercakap benda yang kosong dan lebihkan membaca al-Quran dan berzikir kerana ia membawa banyak manfaat kepada manusia,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya