Tiga kru hilang mungkin hanyut ke perairan Indonesia

Tiga kru hilang mungkin hanyut ke perairan Indonesia

Operasi SAR bagi mencari tiga kru kapal tangki MT Pablo yang masih hilang diteruskan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga kru kapal tangki MT Pablo yang terbakar kira-kira 50 peratus di kedudukan 37.5 Batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi berkemungkinan hanyut sehingga memasuki perairan Indonesia.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan memasuki hari keempat, namun masih gagal menemukan mangsa.

Menurut beliau, operasi SAR yang hendak dijalankan di atas kapal juga masih belum selamat untuk dilakukan.

“Kita turunkan tangga, namun penilaian masih menunjukkan keadaan kapal belum betul-betul selamat untuk team HAZMAT masuk dan melakukan SAR di dalamnya.

“Terdapat kemungkinan mangsa hanyut memasuki perairan Tanjung Pinang, Indonesia berdasarkan simulasi dari Sistem Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS).

“Usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua buah bot ronda milik Maritim Malaysia dengan keluasan sektor pencarian adalah 393 batu nautika persegi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru juga memaklumkan kepada pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya untuk memohon bantuan dari Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dari Indonesia.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan tiga kru kapal berkenaan hilang dalam kejadian kebakaran tersebut, manakala 25 yang lain berjaya diselamatkan dengan bantuan dua kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, masing-masing merupakan warganegara India dengan seorang lagi mangsa, Sabit Shenderovsky, 37, warganegara Ukraine. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN