Tiada lagi pengeluaran KWSP - Utusan Malaysia

Tiada lagi pengeluaran KWSP

ANWAR Ibrahim ketika merasmikan ibu pejabat baharu KWSP di Kwasa Damansara, Sungai Buloh semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Kerajaan me­ngulangi pendirian tidak membenarkan lagi pencarum mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun menyedari pihak pem­­­bangkang akan menjadikan isu itu sebagai modal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri An­war Ibrahim berkata, kerajaan tidak membuat keputusan hanya untuk memenuhi selera sekumpulan kecil pencarum ke­rana badan berkanun itu berpe­ranan menjaga dana saraan hari tua rakyat.

“Walaupun terdapat banyak tekanan politik untuk meluluskan pengeluaran, saya tetap dengan keputusan saya kerana KWSP adalah badan yang sah untuk melindungi wang pencarum sekarang dan untuk masa hadapan,” kata beliau semasa Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP Kwasam Damansara di sini semalam.

Menurut beliau, sebelum ini, rakyat dibenarkan membuat pengeluaran KWSP kerana terdapat keperluan mendesak berikutan penularan Covid-19 sehingga ramai yang tidak boleh berkerja.

“Masa Covid-19 lain, sebab keadaan mendesak ketika itu. Tapi sekarang rakyat sudah bebas untuk keluar bekerja. Sebab itu saya setuju dengan usul pengurusan KWSP tidak lagi membenarkan pengeluaran kecemasan.

“Saya juga percaya ini akan terus dimainkan pihak di sebelah sana (pembangkang) termasuk menjelang PRN akan datang tetapi ia tidak menggusarkan kita,” katanya.

TIGA SIRI

Sebelum ini, kerajaan membenarkan tiga siri pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang semuanya melibatkan dana RM101 bilion dikeluarkan oleh lebih 7.4 juta ahli.

Sementara itu, ditanya isu menaikkan kadar caruman KWSP majikan 20 peratus, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kerajaan belum membincangkan perkara itu.

Kata Anwar, setakat ini belum ada perubahan dalam caruman majikan yang masih kekal 13 peratus.

Pada sambutan Hari Pekerja, 1 Mei lalu, Perdana Menteri memaklumkan sudah menerima cadangan menaikkan caruman majikan dalam KWSP namun perkara itu belum dibawa kepada Jemaah Menteri.

Pada majlis sama, Anwar menyeru pihak pengurusan KWSP meningkatkan nilai pelaburan dalam negara daripada 64 peratus pada tahun lalu kepada 70 peratus tahun ini.

Beliau berkata, KWSP perlu mencapai sasaran tersebut sejajar dengan tujuan penubuhannya untuk membantu pencarum meningkatkan pendapatan di masa depan.

“Saya lihat KWSP pelaburan tinggi sehingga 64 peratus dalam negara. Saya menekankan perkara ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan agar meningkatkan pelaburan kepada 70 peratus,” kata beliau.

Bagaimanapun, kata Anwar, kerajaan tidak mencampuri urusan pelaburan KWSP yang terletak di bawah kuasa panel pelaburan entiti tersebut.

“Panel pelaburan itu harus kekal sebagai bebas dan profesional yang mengambil keputusan berdasarkan kepentingan KWSP.

“Jadi pendekatan panel pelaburan diubah suai dan bukan Menteri mengarahkan supaya melabur dalam mana-mana syarikat pilihan,” tegas Anwar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN