BAGAN DATUK: Lima guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak di sini tetap memikul tanggungjab sebagai pendidik meskipun sekolah itu hanya mempunyai lapan orang murid.
Murid sekolah itu terdiri daripada seorang murid tahun satu, dua murid tahun dua, masing-masing seorang murid tahun tiga, tahun empat dan tahun lima manakala tahun enam mempunyai dua murid malah tahun ini, hanya seorang murid tahun satu mendaftar masuk di sekolah itu.
Guru Besar sekolah itu, Zaiton Hashim berkata, tanggungjawab sebagai pendidik tetap dilaksanakan sebaik mungkin oleh guru di sekolah itu seperti juga guru-guru di sekolah lain yang mempunyai jumlah murid yang ramai.
Katanya, ini dibuktikan apabila semua murid menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.
Menurutnya, sebagai Guru Besar, beliau sentiasa memberikan galakan dan semangat kepada guru-guru agar tidak rasa rendah diri mengajar di sekolah kurang murid.
“Saya selalu ingatkan guru-guru supaya jangan rasa rendah diri sebab kita mengajar di sekolah ini yang kurang murid yang hanya ada lapan orang tetapi sebenarnya kita semua adalah guru terpilih.
“Walaupun hanya ada lapan murid tapi kami mengajar seperti untuk 80 orang atau mungkin untuk 800 orang murid, apabila murid boleh membaca, itu membuktikan kesungguhan guru mengajar tak perlu dipertikaikan.
“Malah PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) juga memberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada salah serong guru di sini
“Kami di sini ikhlas mengajar, kita akan rasa kecewa kalau murid tak boleh membaca, jadi kalau ada yang kata kami berehat sebab sekolah ini kurang murid, saya akan rasa kecewa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kekurangan bilik darjah disebabkan satu blok bangunan di sekolah itu diwartakan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2020 juga tidak melunturkan semangat guru untuk mengajar.
Beliau berkata, kerana kekurangan bilik darjah, ini menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terpaksa dibuat di kantin sekolah yang merupakan laman utama PdP.
“Hanya ada satu kelas sahaja yang boleh digunakan iaitu kelas utama, itu pun untuk murid meletakkan beg supaya mereka merasai suasana setiap daripada mereka ada meja sendiri.
“Kelas itu sebagai sebagai transit untuk mereka merasai suasana kelas sebenar tapi hakikatnya mereka terpaksa belajar di kantin malah saya sebagai guru besar tak ada bilik khas, kami berkongsi, itulah pejabat itulah bilik guru.
“Tapi ini bukan alasan untuk kami tidak mencurahkan ilmu, sebaliknya memberikan PdP yang terbaik,” katanya.
Zaiton mengakui terharu dengan komitmen guru yang dengan rela hati membantu murid dalam pembelajaran mereka.
“Saya sering memberitahu guru agar mereka tidak berkira, maksudnya bantulah murid, kalau mereka tak ada buku atau pensil, kami guru akan belikan.
“Jadi itu dianggap sedekah, apabila ikhlas buat kerja, Allah akan beri sesuatu yang kita tak sangka. Jadi jangan rasa rendah diri, tapi rasa bangga mengajar di sini,” katanya. -UTUSAN