BENTONG: Sepasang suami isteri warga tempatan maut dipercayai terjun daripada sebuah hotel di Genting Highlands dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada 16 Mei lalu, pukul 9.46 malam dan bergegas membuat siasatan di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal, kedua-dua mangsa berusia 37 tahun berasal dari Taiping, Perak berkunjung ke pusat peranginan Genting Highlands pada 11 Mei lalu dan mendaftar masuk menginap di sebuah hotel di sini.
“Hasil pemeriksaan rakaman litar tertutup (CCTV) juga mendapati bermula daripada tarikh kedua-dua mangsa mendaftar menginap di hotel berkenaan sehinggalah tarikh kejadian, tidak ada sesiapa pun yang masuk melainkan mereka sahaja yang keluar masuk di bilik hotel berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, polis juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu dan laporan bedah siasat oleh pihak hospital mendapati kematian lelaki berkenaan disebabkan ‘massive hemotborax’ dan wanita yang juga isteri lelaki tersebut mengalami ‘severe head injury’.
Katanya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu dan sekiranya ada maklumat berkaitan kes tersebut supaya terus menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Derah Bentong menerusi talian 09 2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan.-UTUSAN