PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan satu tarikh bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan pengundi dan menjimatkan kos.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berpandangan, tarikh yang ideal untuk melaksanakan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang adalah pada Julai ini.
BERBEZA
Jelasnya, SPR perlu memainkan peranan menetapkan tarikh yang sesuai supaya PRN di kesemua keenam-enam diadakan serentak walaupun tarikh pembubaran DUN setiap negeri mungkin berbeza.
“Sebagai contoh di Kedah pada 18 Jun depan adalah Hari Keputeraan Sultan Kedah jadi saya berpendapat biarlah majlis tersebut diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembubaran,” katanya.
Mahfuz berkata, walaupun Kedah mungkin akan membubarkan DUN lebih lewat daripada negeri lain namun ia tidak akan menghalang SPR untuk melaksanakan PRN secara serentak.
“Pada saya PRN tidak boleh dibuat secara berasingan bagi memudahkan SPR menguruskan pilihan raya berkenaan selain menjimatkan kos,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa kerajaan boleh berjimat sehingga RM100 juta jika enam negeri mengadakan PRN secara serentak.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN serentak, kosnya cuma RM400 juta berbanding RM500 juta jika diadakan berasingan.
Katanya, SPR mempunyai ruang mengadakan enam PRN itu serentak pada Julai ini, jika enam negeri itu sepakat membubarkan DUN pada minggu terakhir Jun.
“PRN bagi enam negeri itu perlu diadakan tahun ini, memandangkan tempoh hayat setiap DUN terlibat akan tamat antara 26 Jun hingga 2 Ogos ini.
“Jika pembubaran tidak berlaku lebih awal, maka enam DUN berkenaan akan terbubar dengan sendirinya apabila tamat tempoh hayat masing-masing,” katanya.
Turut menyuarakan pendapat sama, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang dengan berkata, PRN serentak di enam negeri dapat meringankan beban SPR serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk melaksanakan pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun beliau berkata, keputusan untuk menasihatkan Sultan berhubung pembubaran DUN adalah terletak kepada Menteri Besar. – UTUSAN










