Rundingan bawa balik 8 individu bantu siasatan kes 1MDB, SRC

Rundingan bawa balik 8 individu bantu siasatan kes 1MDB, SRC

jho low
Jho Low
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membawa pulang lapan individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan Jho Low bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International melalui proses rundingan dengan beberapa negara yang menjadi tempat persembunyian mereka.

Selain Jho Low, difahamkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil; peguam 1MDB, Jasmine Loo dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dipercayai turut berada dalam senarai berkenaan.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, berdasarkan maklumat awal, mereka dipercayai ‘bersembunyi’ di Macau, China dan Thailand sebelum ini, namun lokasi terkini keberadaan kesemuanya masih dikesan.

“Tugas itu rumit kerana individu berkenaan sering menukar tempat persembunyian mereka kerana mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Bukan sahaja Jho Low tetapi ada lagi tujuh sehingga lapan individu sedang SPRM kesan ketika ini. Malah rundingan juga telah dilakukan dengan negara-negara terlibat.

“Pada awalnya, semua individu itu dikatakan berada di negara terlibat namun mereka kemudian berpecah dan bergerak kepada beberapa lokasi yang belum diketahui,” katanya di sini, semalam.

Dalam perkembangan berasingan mengenai seorang ahli perniagaan yang juga sekutu Jho Low dibawa pulang ke Malaysia selepas meninggalkan negara ini lima tahun lalu, sumber berkata, lelaki itu dipercayai telah berada di Macau sepanjang tempoh buruan.

Jelas sumber itu, hasil penggeledahan rumah lelaki berkenaan pada 3 Mei lalu, kira-kira RM30 juta termasuk aset dan akaun dikaitkan 1MDB diperoleh ahli perniagaan itu dibekukan.

“Siasatan masih dijalankan SPRM ketika ini di pelbagai sudut bagi mengesan jejak kewangan yang dikaitkan dengan dana 1MDB,” jelasnya.

Pada 5 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen kerajaan untuk membawa pulang Jho Low dengan segera.

Menurutnya, Malaysia sedang dalam proses rundingan dengan negara terbabit untuk membawa pulang ahli perniagaan itu secepat mungkin.

“Kita tidak pernah sahkan dia di mana, tapi kita sedang berunding dengan negara-negara untuk mempercepatkan proses itu,” jelas Anwar.

Ketika ditanya di mana ahli perniagaan itu berada, Anwar enggan menamakan negara terbabit, namun tetap menyatakan kesediaan kerajaan membawa pulang ahli perniagaan itu.

“Ini kerana ia agak rumit (rundingan) melibatkan beberapa negara, unit risikan dan polis antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini negara berkenaan memberi kerjasama yang baik menerusi proses rundingan.

Pada 20 April lalu, Bradley Hope, pengarang bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ yang mengisahkan mengenai 1MDB memetik sumber dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia dipercayai telah berunding dengan China berhubung ekstradisi Jho Low.

Hope berkata, rancangan sedemikian sedang dibincangkan dalam kerajaan berikutan lawatan Anwar ke China sebelum ini.

Dalam pada itu, SPRM turut mengesahkan seorang bekas pegawai 1MDB diserahkan notis perintah untuk hadir di Ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi, 3 Mei lalu selepas dia dibawa pulang SPRM ke negara ini bagi siasatan lanjut berkaitan penyelewengan 1MDB dan SRC International.

Penyerahan notis itu dibuat selepas lelaki berkenaan tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2) pada pukul 3.30 pagi hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa dari luar negara.

Suspek yang sedang dalam siasatan SPRM dibawa pulang kerana disyaki menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB dan SRC selepas menghilangkan diri sejak 2018.

Hasil siasatan SPRM mendapati lelaki itu telah menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

Jelas beliau, SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) sebelum ini telah melaporkan berjaya menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira AS$5.2 juta.

Selain itu, siasatan juga membuktikan bahawa beliau telah menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Tambah sumber, SPRM dengan kerjasama CAD Singapura berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada syarikat Totality Limited milik seorang ahli perniagaan pada 26 April lalu.

Konspirasi yang dilakukan adalah dengan mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd. yang didakwa dimiliki oleh Jho Low.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata, SPRM kini sedang berusaha untuk membawa pulang beberapa lagi aset daripada individu-individu yang terlibat di Singapura.

SPRM setakat ini berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 billion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN