Rumah sembelihan Australia dapat semula sijil halal

Rumah sembelihan Australia dapat semula sijil halal

BEBERAPA keratan akhbar Utusan Malaysia berhubung isu rumah sembelihan di Australia yang melanggar prosedur halal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rumah sembeli­han haiwan, Thomas Food International (TFI) di Lobethal, Australia yang pernah menim­bulkan kon­­troversi apabila pro­­sedur pe­­nyem­belihannya di­dakwa ti­dak mengikut syariat Islam, menerima semula pensijilan halal mereka dan dibenarkan mengeksport daging ke Malaysia.

Penarikan balik penggantu­ngan kelulusan eksport itu di­sahkan oleh Jabatan Perkhidma­tan Veterinar (JPV) selepas se­­lesai melakukan proses peng­auditan yang ketat di semua rumah sembelihan di negara itu pada tahun lalu.

TFI sebelum ini dibatalkan kelulusan kebenaran eksport oleh JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 14 Mei tahun lalu selepas Utusan Malaysia mendedahkan isu ketidakpatuhan prosedur halal rumah sembelihan itu.

SIJIL

Menurut sumber JPV kepada Utusan Malaysia, TFI memperoleh semula sijil pentauliahan halal sejak 2 Disember 2022 da­ripada Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia (SICHMA) iaitu badan sijil halal yang diiktiraf oleh Jakim.

SICHMA menerima surat tunjuk sebab daripada Jakim atas kegagalannya menyelia prosedur halal ke atas TFI dan boleh dikenakan tindakan dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal diiktiraf Jakim.

Sumber berkata, selepas proses pengauditan yang ketat ke atas semua rumah sembelihan di Australia, hanya 19 rumah sembelih menerima pensijilan halal berbanding 30 buah sebelum ini, sekali gus menggambarkan banyak premis gagal melepasi proses audit itu.

“Daripada jumlah itu, empat buah premis menerima sijil bermula 2 Disember 2022 untuk tempoh tiga tahun manakala 15 lagi premis mendapat dapat sijil itu pada 3 Mac lalu,” kata­nya di sini semalam.

KERAGUAN

Sejak 14 April tahun lalu, Utusan Malaysia beberapa kali mendedahkan tentang kegaga­lan rumah sembelihan itu mematuhi prosedur penyembelihan mengikut syariat Islam sehingga wujud keraguan ter­hadap daging import dari rumah sembelihan berkenaan.

Laporan itu yang disertakan dengan rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang dan dibimbangi haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Bagaimanapun, status terkini rumah sembelihan TFI itu tidak pernah didedahkan oleh pihak Jakim dan JPV biarpun Utusan Malaysia berusaha memperoleh respons daripada kedua-dua agensi itu.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusof pada tahun lalu hanya mengesahkan yang pihaknya belum meneri­ma laporan lengkap daripada JPV berhubung semakan audit.

Pada masa sama, SICHMA memberi jaminan untuk mengkaji semula operasi dan mengetatkan proses dan prosedur pematuhan halal rumah sembelihan di bawah seliaan badan pensijilan halal luar negara itu.

AUDIT

Sumber JPV berkata, berikutan itu, SICHMA melakukan beberapa siri audit berkala sebelum diaudit sekali lagi oleh pasukan JPV.

Dalam pada itu, Pengerusi SICHMA, Muhammet Eris menerusi jawapan secara e-mel kepada Utusan Malaysia mengesahkan bahawa pihak JPV ada datang melakukan proses pengauditan ke atas beberapa rumah sembelihan termasuk TFI pada akhir tahun lepas.

“Ya, kami mengesahkan bahawa pihak JPV ada datang dan mereka memang melaksanakan proses audit secara amat ketat terhadap sejumlah rumah sembelihan halal di negara ini,” katanya.

Jakim pada 17 Mac lalu secara rasmi hanya memperakui tujuh badan pensijilan halal di Australia termasuk SICHMA manakala beberapa agensi di­nyah senarai termasuk Islamic Co-ordinating Council of Victoria, Adelaide Mosque Islamic Society of South Australia dan Al-Iman Islamic Society Inc.

Australia merupakan negara paling banyak badan halal yang diiktiraf Jakim dan sebahagian besar daging import datang dari negara itu.

China dan Jepun masing-masing hanya memiliki enam badan pensijilan halal domestik yang dalam senarai rasmi Jakim manakala pengeksport terbesar daging halal global iaitu Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Belanda, Filipina dan India masing-masing cuma mempunyai tiga badan sedemikian.

Secara keseluruhan, Jakim mengiktiraf 83 badan halal di 46 buah negara tetapi setakat ini, JPV hanya melaksanakan pengauditan di 27 buah negara termasuk India dan New Zealand yang baru dimasukkan agensi itu pada 13 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN