RM600,000 untuk belanja 20 tahun - Utusan Malaysia

RM600,000 untuk belanja 20 tahun

Kajian KWSP mendapati sebanyak RM600,000 diperlukan untuk pencarum bersara bagi menampung perbelanjaan selama 20 tahun. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapati jumlah simpanan yang mencukupi untuk pencarum bersara pada usia 60 tahun sekurang-kurangnya RM600,000.

Jumlah tersebut untuk dibelanjakan bagi tempoh 20 tahun atau sehingga pesara berumur 80 tahun bagi menampung kos sara hidup tetapi bukan untuk membayar caj perubatan dan membayar baki hutang.

Bagaimanapun, bagi pencarum yang mendiami bandar-bandar lain seperti di Kota Bharu, Kelantan atau Alor Setar, Kedah, jumlah simpanan sekitar RM500,000 mencukupi berbanding pesara yang mendiami bandar-bandar di Lembah Klang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Strategi KWSP,

NURHISHAM HUSSEIN

berkata, perkiraan RM600,000 atau RM500,000 hanya membabitkan perbelanjaan makan minum bagi pencarum itu se­mata-mata tidak mengambil kira pasangan pencarum.

 

Bagaimanapun, menurut beliau, jika pencarum itu mempunyai pasangan sama ada suami atau isteri, jumlah simpanan perlu ada untuk hidup selesa ketika bersara RM1 juta bagi yang tinggal di Lembah Klang.

“Anggaran perbelanjaan hampir mencecah RM3,000 sebulan bagi seorang dan jika bersama pasangan ditambah RM1,000 lagi. Kos yang kita masukkan dalam pengiraan ini adalah makanan, perumahan dan perubatan biasa-biasa sahaja.

“Tidak termasuk rawatan libatkan kos yang banyak seperti diabetes, dialisis dan kanser serta hutang-hutang lain.

HAYAT

“Unjuran atau perkiraan itu berdasarkan jangka hayat sehingga 20 tahun selepas bersara 60 tahun atau umur 80 tahun,” kata beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012 yang berkuat kuasa pada 2013, umur persaraan minimum untuk semua pekerja sektor swasta adalah 60 tahun.

Bagaimanapun, KWSP me­ngekalkan kebenaran mengeluarkan semua simpanan pada usia 55 tahun manakala caruman baharu dari umur 55 hingga 60 disimpan sehingga umur 60 tahun dalam Akaun Emas.

Nurhisham berkata, pihak­nya dalam KWSP bimbang de­ngan data dan unjuran keperluan simpanan pencarum yang sebahagian besar jauh daripada mencapai jumlah untuk hidup selesa selepas bersara.

Kata beliau, lebih merisaukan apabila masih banyak pihak berterusan mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran kali kelima.

“Kami di KWSP sangat khuatir dengan desakan pengeluaran. Melihat kepada data lebih 50 peratus daripada pencarum mempunyai baki kurang daripada RM10,000.

BERSARA

“Macam mana mereka mahu bersara dengan jumlah itu kurang RM10,000? Ban­dingkan keperluan untuk persaraan berbanding dengan apa yang pencarum ada sekarang. Simpanan pencarum perte­ngahan sekitar RM50,000 sahaja. Jumlah ini kalau dikira 20 tahun (jangka hayat) untuk hidup selepas bersara, baru boleh belanja RM200 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, simpanan yang kurang RM10,000 dalam akaun kebanyakannya melibatkan bumiputera kerana golongan itu kerap ‘keluar masuk’ daripada sistem pekerjaan.

“Mereka ini bekerja secara tetap hanya sekejap dan kemudian berniaga sendiri, be­kerja tidak formal atau memilih menjadi suri rumah.

“Sebab itu ramai ada akaun KWSP tetapi tak semestinya mencarum. Bila kita tengok pencarum aktif, dalam ke­seluruhan 16 juta ahli, sete­ngah atau lapan juta sahaja yang mencarum tiap-tiap bulan. Jadi simpanan mereka sedikit,” kata beliau.

Oleh itu, kata Nurhisham, bagi memastikan generasi seterusnua membina simpanan lebih awal, pihaknya beberapa kali mencadangkan kerajaan mewajibkan belia yang mencapai umur 18 tahun mendaftar secara automatik dengan KWSP.

Menurut beliau, dengan cara tersebut individu berkenaan boleh membuat caruman lebih awal oleh ibu bapa walaupun anak-anak belum bekerja.

SEKTOR

Katanya, kerajaan juga perlu memberi tumpuan supaya semua sektor termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membayar caruman mengikut gaji minimum ditetapkan kerajaan.

“Bila kita naikkan gaji minimum itu, gaji-gaji lain di pe­ringkat atas akan naik. Jadi, impak lagi besar (termasuk membolehkan potongan lebih banyak ke akaun KWSP),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nurhisham berkata, penetapan kategori golongan berpendapatan rendah (B40), pertengahan (M40) dan tinggi (T20) hanya sesuai untuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuat analisis.

“Bagi saya kategori-kategori ini tidak tepat untuk kita asaskan sesuatu dasar kerana ia tidak melihat kandungan isi rumah. Jadi, T20 bukan bermakna kaya dan B40 tak bermakna dia miskin,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan rakyat negara ini tidak lagi dilihat mengikut tiga kumpulan pendapatan iaitu B40, M40 dan T20 tetapi akan dinilai kepada pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

Perkara itu antara beberapa langkah penstrukturan ekonomi akan dibuat tidak lama lagi apabila Pangkalan Data Utama (Padu) beroperasi seawal-awalnya Januari tahun depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×