RM1,500 upah badal haji tidak logik

RM1,500 upah badal haji tidak logik

RAKYAT Malaysia perlu berhati-hati apabila memilih pihak yang menyediakan perkhidmatan badal haji bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hasrat umat Islam untuk melakukan badal haji bagi ahli keluarga yang meninggal dunia sia-sia apabila setengah­nya menjadi mangsa penipuan agensi pengendali haji dan umrah yang menawarkan perkhidmatan tidak menepati syarak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham mendedahkan, mereka me­lantik seorang pem­badal haji yang membaca niat mewakili 10,000 nama secara sekali gus, se­dangkan sya­rat sah satu fardu badal haji untuk setiap wakil.

Katanya, mereka boleh mengaut keuntungan sehingga RM5 juta bagi setiap musim haji apabila mengutip wang daripada lebih 10,000 individu yang membeli perkhidmatan itu termasuk di negara-negara lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi mereka yang nak upah badal haji ini perlu bertemu orang yang nak buat ibadat itu dan melaksanakan akad iaitu bukan melalui wakil.

“Dari segi kos pula, jika orang yang dari negara ini jadi pembadal, sekurang-kurangnya kos perjalanan sahaja berjumlah RM30,000 dengan penginapan, jadi tidak mungkin dia ambil upah bawah daripada kos itu. Jadi tawaran murah itu semua bohong,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyarankan rakyat Malaysia lebih berhati-hati dengan tawaran badal haji bak cendawan tumbuh lepas hujan dengan menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.

MATA berpendapat, tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa kepada mereka yang menawarkan khidmat badal haji dengan harga tidak munasabah dan hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata dengan mengetepikan soal halal dan haram.

Promosi tersebut tidak masuk akal tetapi aktiviti itu sedang disebarkan pihak tertentu termasuk ada dalam kalangan agensi pengendali haji dan umrah yang cuba memperdaya umat Islam di negara ini yang terdesak untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Persatuan itu turut mencadangkan kerajaan mengawal selia khidmat perniagaan badal haji mengikut perundangan dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bukannya boleh dilakukan sesuka hati tanpa pengawasan.

Dalam pada itu, Razali berkata, hukum melaksanakan badal haji perlu dilaksanakan orang yang pernah menunaikan ibadah itu dan kebiasaannya hanya dalam kalangan ahli keluarga yang diutamakan.

Apatah lagi, katanya, jumlah kuota yang terhad pada setiap kali musim haji sekali pun dalam kalangan orang tempatan tidak memungkinkan pihak-pihak tertentu berupaya berbuat demikian.

“Kebanyakan pihak yang buat badal haji ini kita tak kenal pun, hanya melalui pihak ketiga seperti agensi pelancongan, jadi untuk mengaburi penipuan itu mereka beri lah sedikit cende­ra mata seperti tasbih, sejadah bawa balik sebagai bukti, itu bukan badal haji tetapi ‘bedal’ haji,” ujarnya.

Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum ini berkata, setiap individu dari luar Mekah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadah haji seperti ditetapkan Kerajaan Arab Saudi manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa negara itu.

TH turut menyarankan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran upah haji oleh agensi pelancongan mahupun individu tertentu sambil menegaskan, TH dan anak-anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji.

Dalam hal ini, Razali meminta pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk berterusan memberi peringatan kepada umat Islam negara ini supaya tidak ada mana-mana pihak mempergunakan agama untuk memperdaya orang Islam sendiri.

Katanya, tidak ada mana-mana agensi pengendali haji dan umrah yang dilantik dan diberi kuasa untuk melaksanakan badal haji kerana ia tertakluk kepada kebenaran visa dan kelulusan kuota yang diberikan pihak Arab Saudi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini