Ribut: Penduduk flat hanya mampu laungkan Allahuakbar

Ribut: Penduduk flat hanya mampu laungkan Allahuakbar

KONTRAKTOR Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang membaik pulih dinding bilik kediaman yang tercabut akibat ribut, semalam.- UTUSAN/MASZUREEN HADZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penduduk di Flat Perumahan Awam Loke Yew di sini hanya mampu melaungkan kalimah Allahuakbar dalam keadaan ketakutan ketika angin kencang sehingga menerbangkan dinding sebuah rumah di tingkat 12 bangunan berkenaan.

Penghuni kediaman terjejas, Faridah Saim, 54, berkata, ketika hujan lebat beserta angin kencang kira-kira pukul 7 malam itu, dia dan suami sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat magrib.

Katanya, suaminya, Nazri Nasir, 55, yang juga seorang pesara tentera ketika itu berada di dalam bilik hanya mampu mellihat barang berterbangan ditiup angin kuat apabila dinding bilik tercabut.

“Ketika itu, saya sedang mengambil pakaian yang dijemur di balkoni, manakala suami pula sedang bersiap untuk menunaikan solat Magrib di bilik berkenaan sebelum angin kuat memasuki rumah.

“Angin kuat dari arah balkoni masuk ke ruangan bilik itu yang terbuka pintunya sebelum saya lihat ada renggangan pada dinding berkenaan diperbuat daripada papan.

“Dalam hanya beberapa saat sahaja, saya lihat dinding itu tercabut separuh sebelum lenyap sepenuhnya diterbangkan angin. Ada beberapa pakaian, langsir serta beg di dalam bilik itu turut diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Perumahan Awam Loke Yew, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Faridah berkata, dia kemudian meminta bantuan jiran untuk membantu mengalihkan barang di bilik berkenaan.

“Saya ada dengar jiran-jiran lain juga menjerit dan melaungkan kalimah Allah ketika angin kuat melanda rumah mereka. Mujur tiada sesiapa yang cedera dalam insiden ini.

“Ini adalah kejadian kedua berlaku membabitkan insiden dinding tercabut apabila ribut dan ada jiran sudah menyuarakan kebimbangan mengenai isu sama berulang kali kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” jelasnya.

Beliau yang juga suri rumah berkata, sebahagian dinding bangunan itu dibina diperbuat daripada papan dan pihaknya bimbang ia tidak begitu kukuh dengan keadaan angin kuat terutama pada waktu ribut.

Pada hari biasa sahaja angin sudah begitu kuat memandangkan kebanyakan pokok di kawasan sekitar sudah ditebang.

“Perkara ini menyebabkan kami (penduduk) bimbang terhadap keselamatan dan keadaan struktur rumah terutama ketika ribut.

“Selepas kejadian dinding tercabut di bangunan ini pada 2014, ada jiran yang tampil membuat aduan kepada DBKL bagi mengatasi masalah ini, namun perkara ini berulang semula,” katanya yang sudah menetap di rumah itu sejak 28 tahun lalu.

Tambahnya, dia berharap isu itu dapat ditangani dengan segera bagi mengelakkan masalah sama berlaku pada masa akan datang.

Tinjauan Utusan Malaysia di rumah berkenaan mendapati terdapat beberapa kontraktor DBKL sedang membina semula dinding bilik berkenaan menggunakan bata.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya