TAPAH: Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih semalam, dipercayai tersasar dari laluan asal pendakian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berdasarkan maklumat diterima, mangsa dipercayai tersasar daripada trek asal ketika dalam perjalanan turun dari gunung berkenaan.
Katanya, laluan asal pendakian itu sepatutnya membawa mangsa keluar di kawasan Kuala Woh, namun pihaknya percaya wanita terbabit mungkin tersasar ke kawasan sekitar Gunung Rayu atau Pos Musoh.
“Pasukan penyelamat yang menyusuri jejak mangsa menemukan kesan tapak kasut dipercayai milik seorang pendaki di kawasan berkenaan.
“Jejak kasut tersebut bukan berada di laluan utama pendakian dan dipercayai merupakan petunjuk bahawa mangsa telah tersasar daripada trek asal.
“Susulan itu, operasi pencarian kini difokuskan di kawasan tersebut memandangkan laluan berkenaan tidak digunakan oleh pendaki lain termasuk rakan-rakan mangsa,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah di sini hari ini.
Menurut Sabarodzi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang ditangguhkan sementara pada pukul 6 petang tadi akan disambung semula 8 pagi esok bagi meneruskan usaha mengesan mangsa yang masih hilang.
Katanya, pesawat Agusta AW139 akan digunakan sekali lagi bagi membawa tambahan anggota penyelamat ke lokasi operasi.
“Seramai 12 hingga 16 anggota dijangka dihantar untuk membantu lapan anggota yang telah berada di kawasan gunung tersebut, dengan tumpuan pencarian akan difokuskan di sekitar Gunung Rayu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi di Gunung Batu Putih berdepan pelbagai cabaran memandangkan gunung berkenaan merupakan antara laluan pendakian G8 yang terkenal dengan tahap kesukaran tinggi.
Katanya, keadaan trek yang curam, cuaca hujan lebat dan licin di kawasan puncak, menyukarkan pergerakan anggota untuk menjalankan operasi pencarian.
“Selain itu, antara halangan utama dihadapi pasukan penyelamat ialah masalah komunikasi yang menyukarkan penyampaian maklumat dan perkembangan terkini operasi.
“Malah, faktor awan tebal di kawasan puncak turut menyukarkan operasi pesawat untuk menghantar anggota penyelamat menjalankan pencarian di kawasan terbabit,” katanya.
Selain JBPM dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Perak, SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan Jabatan Perhutanan Perak.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung. – UTUSAN










