ARAU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis yang diberi mandat oleh rakyat mentadbir negeri ini perlu bertanggungjawab mengekalkan kestabilan dan melaksanakan amanah sehingga tamat penggal.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, kestabilan politik dan pentadbiran negeri perlu terus dipelihara demi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.
Katanya, sebagai sebuah negeri sedang membangun, Perlis memerlukan sebuah kerajaan stabil, berfungsi dan diberikan ruang melaksanakan tanggungjawab sehingga tamat tempoh mandat telah diberikan rakyat.
“Apatah lagi, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebelum ini telah berulang kali menitahkan pelbagai cadangan serta aspirasi berkaitan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Dalam titah sempena ulang tahun keputeraan ke-83 baru-baru ini, baginda turut menegaskan bahawa setiap projek dirancang hendaklah dilaksanakan dengan cekap, dipantau secara rapi dan disiapkan dalam tempoh munasabah supaya manfaat dapat dinikmati rakyat tanpa kelewatan.
“Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran ketidaktentuan ekonomi global, kenaikan harga barangan, kos perkhidmatan dan tekanan kos sara hidup yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Justeru, segala perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negeri dan inisiatif rakyat memerlukan suasana pentadbiran kondusif, kerjasama politik matang serta tumpuan penuh daripada kerajaan negeri demi memastikan kesejahteraan rakyat Perlis terus terpelihara,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah memberi peringatan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sekiranya enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN yang dijadual pada 3 hingga 5 Jun ini.
Kata Abu Bakar, beliau tidak mempunyai pilihan dan menunggu sebarang tindakan dari wakil rakyat Pas tersebut jika berhasrat berbuat demikian.
Sementara itu, Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, sebarang perbalahan politik yang berpanjangan tidak memberi manfaat kepada rakyat, lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri kini terdiri daripada Bersatu dan Pas yang berada dalam sebuah gabungan atau kerjasama politik sama.
Katanya, keutamaan semua pihak ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan memastikan kesejahteraan rakyat Perlis.
“UMNO Perlis percaya bahawa kestabilan politik merupakan asas penting kepada kemajuan negeri serta keyakinan rakyat terhadap masa depan Perlis.
“Justeru, semua pihak perlu mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat melebihi sebarang perbezaan dan kepentingan politik demi memastikan Perlis terus maju dan membangun,” katanya.-UTUSAN










