Pulau Meranti tumpuan PATI - Utusan Malaysia

Pulau Meranti tumpuan PATI

Pemandangan udara kawasan dipercayai diteroka menjadi kebun sayur haram oleh warga asing yang dirakam di Pulau Meranti, Puchong kelmarin. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pulau Meranti di Puchong didakwa menjadi lokasi baharu yang menjadi tumpuan pendatang asing asing tanpa izin (PATI) untuk membina penempatan haram dan berkebun selepas beberapa lokasi sebelum ini diserbu pihak berkuasa.

Difahamkan sejak penghujung Ramadan sehingga beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, menyaksikan peningkatan mendadak kemasukan PATI di kawasan itu ekoran penduduk tempatan pulang ke kampung untuk berhari raya.

Warga asing yang masuk ke Pulau Meranti didakwa memi­lih kawasan sekitar grid elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membina tempat berte­duh.

Malah terdapat dakwaan, kebanjiran PATI di Pulau Meranti naik mendadak selepas 14 Februari lalu susulan serbuan pihak berkuasa di Cyberjaya menyebabkan kumpulan tersebut mencari penempatan baharu di perkampungan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke perkampungan haram tersebut baru-baru ini mendapati setiap jam secara purata terdapat lima kenderaan keluar masuk membawa sayur-sayuran dari kebun haram di situ.

Antara sayur yang dibawa keluar ialah seperti kacang panjang, kakrol atau peria Bangladesh serta petola ular.

MENYEWA

Berdasarkan perbualan dengan seorang warga Nepal yang menyewa sebuah rumah kampung di laluan utama mema­suki perkampungan haram itu yang enggan identiti disiarkan, dia berkata sewaktu Hari Raya Aidilfitri pertama, dia melihat kira-kira 20 pendatang asing Indonesia, Bangladesh dan Myan­mar menceroboh dan memenuhi kawasan rumah-rumah haram di situ.

“Waktu itu saya bekerja di sebuah rumah yang terletak di hadapan laluan utama untuk masuk ke perkampungan haram itu. Saya nampak pendatang asing Indonesia, Myanmar serta Bangladesh berjalan kaki, naik motosikal dan kereta masuk ke arah perkampungan haram,” kata warga Nepal itu.

Dakwa warga Nepal itu lagi, kemasukan warga asing itu bermula pukul 8 hingga 9 pagi manakala sebelah petang kemasukan mereka mulai pukul 3 sehingga 6 petang.

Utusan Malaysia turut membuat tinjauan ke dalam kebun-kebun dan perkampungan haram warga asing itu mendapati terdapat sebuah reban kambing dibina bersebelahan ladang sayur peria, yang didakwa diusahakan warga Bangladesh bernama Jamal.

SAUDAGAR

Seorang penduduk asal Pulau Meranti berkata, Jamal adalah saudagar sayur berjaya di kawasan tersebut dan lelaki itu juga sedang membangunkan sebuah reban ayam.

“Jamal dan PATI yang masuk ke sini menceroboh tanah TNB dan tanah kerajaan Selangor di sekitar Pulau Meranti sehingga semakin ramai warga asing pelbagai negara dibawa berkampung di sini.

“Setiap kali kebanjiran warga asing di Pulau Meranti disiar di akhbar, Jamal akan datang bersama pekerjanya ke rumah penduduk kampung. Jamal datang untuk bertanya jika ada tanah-tanah orang kampung untuk disewakan. Jamal kata dia risau sebab tanah yang dicerobohnya itu sudah mendapat perhatian akhbar,” katanya.

Ketika tinjauan dua hari di Pulau Meranti, Utusan Malaysia turut berbual dengan seorang pekerja Jamal yang enggan dikenali memaklumkan, Jamal seorang tauke sayur yang berjaya dan lelaki beristeri itu menggaji lebih 20 pekerja menanam sayur.

“Warga Indonesia isteri Jamal banyak duit dan wanita itu menetap di Taman Mas di Puchong.

Wanita itu bisnes beli sayur dan hantar ke kedai-kedai runcit di Selangor. Isteri kedua Jamal pula seorang wanita Melayu, janda anak dua. Isteri ketiga pula seorang ibu tunggal dari negeri pantai timur yang berniaga emas dan produk kecantikan,” kata pekerja Jamal tersebut.

KAWAN

Selain itu, dakwa pekerja lelaki itu lagi, Jamal mempunyai kawan dengan orang kerajaan menyebabkan dia mampu mengusahakan tanah kerajaan.
“Jamal ambil tanah itu untuk buka kebun sayur dan sewakan lot-lot kecil tanah kepada rakyat Bangladesh lain. Satu ekar disewa RM500 hingga RM600. Dia kemudian bayar premium tanah kepada pihak berkuasa melalui orang tengah sama ada pegawai kerajaan itu ataupun isterinya,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan lain pula bercerita, Jamal pernah menawarkan wang RM2,000 sebulan kepadanya untuk dia mendapatkan kebenaran hitam putih dari agensi kerajaan bagi mengusahakan tanah yang diterokainya.

Selain itu, kata, Jamal juga pernah menghadiahkan dia sepasang kambing sebagai imbuhan untuk dia tidak mendedahkan aktiviti menceroboh tanah di bawah pencawang TNB,.

Bagaimanapun, penduduk itu, mengakui kebanjiran warga asing merimaskan penduduk tempatan kerana warga asing itu terlalu bebas walaupun berteduh di kawasan yang diceroboh.

Seorang lagi penduduk tempatan yang enggan identiti disiarkan berkata, kebanjiran warga asing di Pulau Meranti membabitkan komuniti PATI yang lari dari sekitar Cyberjaya akibat di­serbu pihak berkuasa pada Februari 2023.

“Sering kali juga saya bertanya kepada warga asing yang baru masuk ke sini, di mana mereka tinggal. Mereka cakap menetap di rumah kongsi di perkampungan haram itu. Rata-ratanya yang saya perasan adalah warga Indonesia. Mereka ini banyak bekerja di ladang sayur yang diteroka secara haram di sini dan ada juga yang bekerja sebagai pencuci di kawasan sekitar Cyberjaya,” katanya.

Kata penduduk itu, Pulau Meranti kini semakin ramai dengan warga asing pelbagai negara dan situasi tidak menyenang warga tempatan.

Menurut penduduk itu lagi, keadaan seperti itu tidak patut dibiarkan kerana warga asing itu dilihat semakin dominasi dari segi ekonomi yang dilakukan secara haram berbanding penduduk tempatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN