Peniaga resah, bekalan gula masih belum pulih

Peniaga resah, bekalan gula masih belum pulih

SAKINAH Ibrahim menunjukkan rak gula di kedainya kosong di Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Peniaga mendakwa bekalan gula masih sukar diperoleh walaupun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) sudah mengagihkan 250,000 bekalan bahan mentah itu ke seluruh negeri ini bagi mengatasi masalah tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia di Tumpat dan Pasir Mas mendapati rata-rata peniaga mengeluh apabila sukar mendapatkan bekalan bahan mentah itu sekali gus menganggu urusan niaga mereka.

Seorang peniaga di Pasir Mas, Suraya Harun, 34, mendakwa, dia terpaksa ‘keluar masuk’ kedai borong bagi mendapatkan bahan mentah itu untuk memenuhi permintaan para pelanggannya.

“Saya mencari gula sehingga ke Tumpat, namun, sayangnya bekalan itu tiada. Situasi itu memberikan ‘tekanan’ kepada peniaga kerana gula merupakan antara bahan mentah yang penting dalam kegunaan harian.

“Jadi, saya berharap bekalan gula akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagi Sakinah Ibrahim, 56, rak gula di premisnya kosong sejak dua minggu lalu apabila bahan mentah mulai habis di pasaran.

Katanya, dia difahamkan bekalan akan pulih hari ini namun apabila ke pusat pemborong bahan mentah itu tiada.

Sementara itu, Mohd. Azlim Ayub, 36, berkata, dia hanya sempat mendapatkan bekalan gula daripada pemborong sebanyak 240 kg tetapi namun habis terjual dalam masa sehari.

Katanya, rak gula di kedainya kembali kosong selepas pengguna membuat pembelian panik.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan kekurangan bekalan gula di Terengganu dan Kelantan yang berlaku pada musim perayaan Aidilfitri lalu akan pulih sepenuhnya pada minggu ini.

Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya memberi jaminan tersebut selepas dua syarikat pengeluar gula utama di negara ini memberi komitmen untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan gula di pasaran dalam tempoh segera.

Menurutnya, dua syarikat pengeluar gula utama itu ialah Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM).

Pada masa sama, katanya, syarikat pemborong dan pembekal pula terlibat pula diarahkan mengedarkan segera bekalan gula yang diterima untuk mengelakkan pengguna menghadapi masalah mendapatkan barangan keperluan itu.

“Syarikat pemborong dan pembekal diingatkan tidak menyorok bekalan gula sehingga menyebabkan bekalan gula berkurangan di pasaran.

“Tindakan tersebut juga akan menyebabkan berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat pemborong di Gong Badak di sini, semalam.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN