Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru 27 Mei ini

Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru 27 Mei ini

Abdul Halim Suleiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tarikh dan masa untuk pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru yang tertangguh sejak 18 Mac lalu ditetapkan pada pukul 9 pagi, 27 Mei ini.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman bagaimanapun memberitahu, lokasi pemilihan tersebut masih belum ditetapkan ketika ini.

Menurut beliau, perkara itu tertakluk kepada ‘caretaker’ UMNO bahagian tersebut iaitu Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

“Buat waktu ini, tarikh dan masa proses pemilihan semula itu ditetapkan, namun, lokasi masih belum tahu, itu kena tunggu ‘caretaker’ sebab dia yang akan buat keputusan.

“Kita (UMNO Johor) diberikan tanggungjawab untuk menyelaras perkara itu, namun, UMNO Bahagian Johor Bahru akan mengeluarkan notis dalam tempoh 14 hari (sebelum pemilihan),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Abdul Halim yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, pemilihan semula itu melibatkan kesemua jawatan di peringkat bahagian.

“Semua jawatan dipertandingkan, pengerusi tetap, ketua bahagian, ketua sayap dan lain-lain.

“Saya percaya proses pemilihan semula ini akan berjalan dengan lancar kerana kesemua ahli-ahli UMNO adalah individu yang matang dan bijak membuat pilihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau tidak dapat memastikan jumlah perwakilan yang akan memilih kerana ia bergantung kepada kehadiran perwakilan daripada cawangan-cawangan di bahagian berkenaan.

Pada 18 Mac lalu, Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin mengumumkan pemilihan bahagian itu yang berlangsung di Hotel New York, ditangguh dan digantung.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi melibatkan perwakilan yang hadir dimana keputusan itu adalah muktamad.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menyaksikan dua calon bertanding iaitu bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian tersebut, Datuk Yahya Jaafar yang mendakwa beliau memenangi jawatan berkenaan dengan perbezaan 15 undi menewaskan Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah.

Sementara itu, pada 1 April lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu UMNO Johor akan mengambil alih pemilihan berkenaan dengan Setiausaha UMNO Johor diberi tanggungjawab mengendalikan pemilihan terbabit.

“Jika boleh semua perwakilan hadir pada mesyuarat bahagian dan pemilihan itu nanti supaya tidak berlaku ‘rumah siap, pahat berbunyi’.

“Pemilihan semula ini bukan seperti bahagian lain yang hanya membabitkan ketua bahagian sahaja kerana UMNO Bahagian Johor Bahru ini membabitkan juga pemilihan keseluruhan jawatan kuasa bahagian.

“UMNO Johor juga tidak mahu pemilihan semula ini diadakan secara tergesa-gesa. Oleh itu, perbincangan rapi perlu dilakukan kerana kita tidak mahu hanya segelintir ahli yang datang pada pemilihan semula nanti,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya