Norlia Ghani kecewa tak terima bayaran

Norlia Ghani kecewa tak terima bayaran

NORLIA GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon ve­teran, Norlia Ghani, 74, terkilan masih tidak menerima bayaran daripada sebuah ste­sen televisyen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norlia yang terlibat dalam sebuah program sitkom sebanyak enam episod mendakwa, beliau sepatutnya menerima bayaran selepas dua minggu penggambaran dilakukan.

Namun, sehingga kini, katanya, tiada kata putus diberikan stesen televisyen berkenaan.

“Penggambaran sudah dilakukan sebelum Ramadan. Selalunya selepas dua minggu, kami sudah dapat bayaran. Namun hari ini, sudah habis raya, namun bayaran masih tak dapat.

“Setiap kali saya hubungi mereka bertanya tentang bayaran, mereka kata tunggu bahagian kewangan. Tapi tiada kepastian bila,” kata­nya ketika dihubungi di sini, semalam.

Lebih mengejutkan, Norlia mendakwa, ramai rakan selebriti turut berhadapan situasi sama apabila stesen televisyen culas dalam melunaskan pembayaran.

“Bila saya kongsikan perkara itu, ramai rupanya yang cakap menghadapi pengalaman serupa.

“Kalau tiada bajet, tak usah­lah buat program. Stesen lain 10 hari lepas penggambaran sudah dapat bayaran. Ini kali pertama saya kena begini,” tambahnya yang sudah lima dekad berke­cimpung dalam dunia seni.

Terdahulu, Norlia memuat naik kenyataan dalam Instagram menyatakan rasa kecewanya.

Usaha mendapatkan penjelasan stesen televisyen berkenaan belum berjaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN