Niat busuk kaitkan saya dengan kes rasuah -Hamzah

Niat busuk kaitkan saya dengan kes rasuah -Hamzah

HAMZAH Zainudin ketika berucap pada pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya PN di Guar Chempedak, Yan. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, tindakan mengaitkan namanya dengan pertuduhan kes rasuah di mahkamah baru-baru ini dilakukan oleh mereka yang berniat ‘busuk’.

Sambil mempersoalkan mengapa beliau dituduh bersubahat dengan individu berkenaan, Hamzah turut mendakwa kerajaan bersifat zalim dalam hal itu. 

Katanya, beliau tidak tahu mengapa namanya dikaitkan dengan kes tersebut sedangkan langsung tidak mengambil duit individu berkenaan walaupun satu sen. 

“Selepas raya, individu ini depa (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tuduh. Selepas itu pada hari sama, barulah mai pejabat saya untuk temubual dan rakam sesuatu yang mereka mahu dari saya. 

“Saya beritahu yang saya tak tahu pun mereka (tertuduh) ini buat kerja apa. Saya tak tahu dan kalau mereka nak tuduh, itu depa punya pasal. 

“Satu sen pun saya tak ambil dari individu ini, kenapa nak kait dengan nama saya? Inilah dia kerajaan zalim, kerja mereka yang berniat busuk,” katanya ketika berucap pada pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya PN di Guar Chempedak, malam tadi. 

Kelmarin, Setiausaha Sulit Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli diiringi Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membuat laporan polis susulan tindakan SPRM yang didakwa sengaja mengaitkan nama bekas menteri itu dengan pertuduhan rasuah. 

Ahmad Ikhwan merujuk kes di Mahkamah Sesyen pada Rabu lalu membabitkan pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Datuk Seri Sim Choo Thiam yang didakwa meminta suapan RM15 juta daripada Pengarah urusan Asia Coding Centre Sdn. Bhd., Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021. 

Ia didakwa sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah kementerian berkenaan pada Jun 2021.

Sementara itu Hamzah berkata, PN mahu mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bagi menghantar isyarat bahawa rakyat sudah tidak lagi mahu kerajaan sedia ada hari ini. 

“Insya-Allah, kerajaan ini akan jatuh apabila kita dapat mengambil alih semua enam negeri dalam PRN nanti,” katanya. 

Jelasnya, jika PN mengambil alih kerajaan sedia ada, gabungan tersebut tidak berhasrat untuk mencari kesalahan orang lain. 

“Lebih penting buat kita adalah mencari pemimpin untuk mengatur Kabinet menjadi lebih baik supaya segala yang dilakukan adalah sesuatu yang benar-benar bertanggungjawab demi masa depan agama, bangsa dan negara. 

“Jangan sekali-kali kita ikut perangai orang macam ini. Kalau kita ambil alih kerajaan sedia ada, jangan cari masalah orang sebaliknya tengok masa depan serta cari perkara lebih baik di depan kita,” katanya. -UTUSAN

HAMZAH Zainudin ketika berucap pada pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya PN di Guar Chempedak, Yan. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

 

*pix dalam sistem foto

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.