Nadir bumi: Satu lagi kawasan lombong haram dikesan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Nadir bumi: Satu lagi kawasan lombong haram dikesan di Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Antidadah 2023 Peringkat Negeri Sembilan dan Karnival Mega Belia Beliawanis MPKK DUN Seri Menanti bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, di Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Selepas satu aktiviti perlombongan haram nadir bumi terbongkar di Seri Menanti, Kuala Pilah baru-baru ini, kerajaan Negeri Sembilan hari ini memaklumkan satu lagi aktiviti yang sama dikesan dan kali ini di tanah sebuah pertanian di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu, kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai lokasi kedua tersebut sekitar pukul 5 petang pada hari Khamis lalu.

Kata beliau, sehubungan itu, satu operasi melibatkan pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan serta agensi berkaitan telah digerakkan ke lokasi kira-kira pukul 8 malam.

Menurutnya, pada pukul 10.30 malam, satu lokasi perlombongan haram beserta hasil nadir bumi telah ditemukan dan kini ia disita serta disimpan bagi tindakan selanjutnya.

“Tiada tangkapan di buat di lokasi dan ia berada di tanah persendirian. Saya dimaklumkan tanah lot kerajaan juga terlibat.

“Bagaimanapun jumlah keluasan bagi aktiviti ini masih belum dipastikan dan aktiviti ini masih baharu lagi kerana terdapat hasil yang dikumpul di lokasi.

“Kami berharap masyarakat dapat memberikan maklumat dan saya berterima kasih kepada pemberi maklumat kerana mereka (pelombong) menjalankan aktiviti ini di kawasan yang agak pedalaman dan sukar dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Antidadah 2023 Peringkat Negeri Sembilan dan Karnival Mega Belia Beliawanis MPKK DUN Seri Menanti bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan terus mencari aktiviti perlombongan haram nadir bumi di seluruh negeri ini dengan kerjasama pihak pejabat daerah.

Sebelum ini, kerajaan Negeri Sembilan mendedahkan satu aktiviti perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lalu melalui aduan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.

Susulan penemuan tersebut, siasatan bersepadu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan dan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia telah dijalankan.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanah milik.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya