MyCC putus nasib 5 syarikat pengeluar makanan ayam

MyCC putus nasib 5 syarikat pengeluar makanan ayam

Wujud kebimbangan para penternak kecil langkah kerajaan menghentikan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan bagi ayam akan memudahkan lagi pihak kartel memanipulasi harga. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas siasatan terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam yang terlibat dalam kegiatan kartel kerana melanggar Seksyen 4 Akta 712 melalui satu perjanjian anti persaingan tidak dibentang kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persai­ngan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail memberitahu Utusan Malaysia, MyCC yang akan menyiasat dan membuat keputusan sama ada syarikat terbabit bersalah atau sebaliknya.

Katanya, MyCC merupakan badan separa kehakiman dan sebarang siasatan termasuk berhubung lima syarikat terbabit tidak akan melibatkan AGC.

“Kami akan mendengar representasi lisan daripada lima pihak (syarikat makanan ayam) antara hujung Mei hingga Julai. AGC tidak akan terlibat langsung dalam sebarang proses kes MyCC,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas perkembangan siasatan, Iskandar berkata, semua syarikat terbabit telah menghantar representasi bertulis kepada MyCC.

“Semua sudah hantar. Selepas itu, kita akan mendengar secara lisan representasi mereka berasaskan kepada representasi bertulis itu,” katanya.

Pada Ogos 2022, Iskandar berkata, MyCC telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan pengisar makanan yang didapati melanggar Akta Persaingan 2010, hasil dapatan awal siasatan isu kenaikan harga ayam.

Menurutnya, MyCC pada awalnya mendapati perusahaan terbabit telah menaikkan kuantum harga makanan ayam sepanjang tempoh 2020 sehingga pertengahan 2022.

Sementara itu, satu sumber kementerian yang dihubungi akhbar ini mendakwa, kerajaan sedang mempertimbangkan sia­satan terhadap kartel-kartel lain dalam sektor pengeluaran ayam termasuk syarikat yang mengawal bekalan dan pasaran anak dan induk ayam.

Sumber berkata, bertitik tolak siasatan MyCC ke atas kartel makanan ayam akan mendorong lebih banyak siasatan terhadap ekosistem itu.

“Ini (kartel) adalah kes yang memerlukan cukup banyak pertimbangan. Malah, skop siasatan MyCC buat masa ini ha­nya menyentuh makanan dedak bagi ternakan ayam saja, belum sentuh lagi sektor lain dalam ekosistem pengeluaran ayam.

“Itu semua akan disiasat, tapi MYCC mulakan dengan siasatan makanan ayam,” ujarnya.

Utusan Malaysia telah me­ngajukan persoalan siasatan MyCC ke atas kartel lain dalam sektor ternakan ayam dan sedang menunggu maklum balas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN