Musuh UMNO terus bina propaganda negatif

Musuh UMNO terus bina propaganda negatif

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak senang dengan kedudukan UMNO ketika ini, musuh-musuh UMNO terus cuba membina propaganda negatif terhadap parti itu iaitu dengan menanam perasaan benci dan prejudis melampau dalam pemikiran rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, musuh parti itu memainkan permainan persepsi sehingga membentuk realiti yang berbahaya dalam pemikiran dan kehidupan rakyat.

Menurut beliau, usaha membina negara dan meletakkan ekonomi pada landasan yang betul melalui politik nilai, khidmat, ikhtiar serta iltizam politik terus diketepikan demi kebencian dan dendam kesumat.

DIGITAL

“Semuanya dihidangkan sebagai soundbyte buffet yang mudah dihadam dan diterima serta berlegar di domain digital sehingga ke hari ini.

“Daripada usaha memajukan masyarakat mendepani cabaran abad ke-21, sebaliknya ini telah menganjakkan masyarakat kita jauh ke belakang. Kita telah kembali kepada budaya politik lapuk dan ketinggalan zaman,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, budaya politik negatif tersebut membawa kesan kepada anak-anak muda selaku pelapis negara apabila perjalanan politik mereka bermula menerusi lensa perkauman dan propaganda kebencian.

“Saya yakin, bahawa pihak sana bukannya tidak sedar kesan buruk daripada propaganda ini. Tetapi memilih dengan sengaja untuk memejamkan mata dan membiarkan anak muda kita terus terbuai sehingga membelakangkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara.

“Semuanya demi laba dan kuasa, bukan demi rakyat dan negara. Justeru, bagi mengembalikan Malaysia kepada landasan yang betul, kita semua perlu melihat ke dalam diri kita semua dan menginsafi tanggungjawab kita kepada masyarakat.

“Kesejahteraan negara bukan semata-mata ditentukan oleh kerajaan dan pemimpinnya, tetapi oleh pilihan dan tindakan berjuta-juta rakyatnya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, peranan UMNO dalam kerajaan perpaduan merupakan peluang untuk parti tersebut menggalas tanggungjawab mentadbir negara dengan baik dan membuktikan kebolehan memimpin harapan rakyat.

“Cara kita membina negara perlu lebih cekap dan bermaruah serta berintegriti. Kita mendukung nilai-nilai hormat dan saling kebertanggungjawaban antara kita dan juga rakan-rakan kita dalam kerajaan perpaduan.

“Kita mengambil pendirian rasional dan mengiktiraf bahawa kita boleh bergerak seiringan. Bukan sahaja dalam aspek nilai-nilai yang kita kongsi bersama, tetapi juga dalam menentukan hala tuju Malaysia yang terbaik.

“UMNO berazam untuk mengurniakan kepada rakyat Malaysia dengan sebuah kerajaan yang diyakini dan sentiasa mempertahankan nilai-nilai demokrasi dan hak kemanusiaan serta cakna realiti semasa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN