KUALA LUMPUR: Pelakon senior, Laila Nasir, 55, bersyukur apabila selamat menerima menantu sulung selepas putera sulungnya, Badrul Mukhriz Yeop Abdullah, 31, sah bergelar suami kepada pilihan hati, Natilia Fazdina Khaizatul Fairuz, pada 6 Jun lalu.
Majlis pernikahan pasangan yang masing-masing berkhidmat dalam bidang pentadbiran itu berlangsung dalam suasana sederhana dan tertutup di sebuah hotel di ibu negara, hanya dihadiri ahli keluarga terdekat serta sahabat handai.
Pasangan sama cantik sama padan itu turut diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung pada 20 Jun lalu di sebuah premis acara di Puchong.
Laila atau nama sebenarnya Norlaila Nasir mengakui berasa sebak dan terharu apabila melalui detik bersejarah menerima menantu sulung, lebih-lebih lagi sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan anak-anaknya selepas pemergian suami tercinta.
“Perasaan sedih melepaskan anak sulung ke pangkuan wanita yang kini bergelar isterinya bercampur baur dengan rasa syukur dan gembira. Kalau arwah suami saya masih ada, tentu dia antara insan paling bahagia melihat anak kami melangkah ke alam perkahwinan.
“Saya sudah lama bersedia menerima hakikat bahawa anak yang ditatang bagai minyak yang penuh ini akhirnya akan menjadi suami orang dan memikul tanggungjawab yang lebih besar,” katanya.

Menurut anak kelahiran Machang, Kelantan itu, proses melepaskan anak ke alam rumah tangga bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh seorang ibu.
“Ia mengambil masa untuk menyesuaikan diri, lebih-lebih lagi apabila saya melalui pengalaman ini buat kali pertama sebagai ibu tunggal.Tidak mudah membesarkan dua orang anak dan menguruskan segala-galanya sendiri. Namun, dengan sokongan ibu serta adik-beradik, segala urusan berjalan lancar.
“Malah, persiapan majlis perkahwinan ini juga banyak dibantu oleh keluarga. Apa yang paling saya harapkan ialah semoga ikatan yang dibina ini berkekalan hingga ke syurga,” ujarnya.
Pelakon yang pernah memegang watak Mona dalam drama bersiri Nur itu berkata, sebagai ibu, dia akan sentiasa mendoakan kesejahteraan anak dan menantunya dalam membina keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah.
“Hidup berumah tangga ini penuh dengan cabaran dan ragam. Apa yang penting, kedua-duanya perlu sentiasa menjaga keharmonian serta bertolak ansur dalam setiap perkara.
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia biasa,” katanya.
Terdahulu, berita gembira mengenai perkahwinan pasangan itu turut dikongsikan oleh beberapa rakan selebriti menerusi media sosial.
Sementara itu, majlis bertandang pasangan pengantin baharu berkenaan dijadual berlangsung pada 27 Jun ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.









