Mexico City larang jualan alkohol sempena perlawanan Piala Dunia

Mexico City larang jualan alkohol sempena perlawanan Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Kerajaan Mexico City melarang penjualan alkohol semasa perlawanan Piala Dunia antara Mexico dan Republik Czech ketika beribu-ribu peminat dijangka berkumpul di jalan-jalan pusat bandar untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Menurut pegawai tempatan, kira-kira 400,000 peminat meraikan kemenangan Mexico ke atas Korea Selatan pada Khamis lalu di monumen Angel of Independence yang terletak di Reforma Avenue, sebuah kawasan yang dikelilingi bangunan pencakar langit.

Manakala 200,000 lagi peminat berkumpul di dataran Zocalo di luar istana presiden.

Kedua-dua lokasi tersebut termasuk di bawah rancangan larangan alkohol yang diumumkan oleh kerajaan bandar raya pada Selasa.

Larangan berkenaan akan berkuat kuasa dari petang Rabu hingga pagi Khamis.

Ia tertakluk kepada pasar raya dan kedai runcit, bagaimanapun pengambilan alkohol di dalam restoran dan bar tetap dibenarkan.

Meskipun keraian yang meriah pada minggu lalu tidak mencatatkan sebarang kecederaan atau kerosakan yang serius, Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada pada keesokan harinya menyatakan kerajaannya akan berusaha menyekat pengambilan alkohol di jalanan semasa perlawanan seterusnya.

Menurut pegawai bandar raya, petugas pembersihan telah mengumpulkan sebanyak 40 tan sampah susulan sambutan luar biasa peminat terhadap kemenangan Mexico menentang Korea Selatan.

Perlawanan terakhir Mexico dalam fasa kumpulan menentang Republik Czech akan berlangsung di Stadium Azteca pada pukul 7 malam (waktu tempatan).

Skuad kebangsaan Mexico memberikan harapan kepada peminat tempatan selepas melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan A, sekaligus mengesahkan slot mereka untuk beraksi dalam pusingan 32 terbaik. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×