KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon perbicaraan kes salah guna kuasa berhubung suapan berjumlah RM232.5 juta dihadapinya dipindah ke Mahkamah Tinggi.
Peguam beliau, Rosli Dahlan berkata, permohonan itu difailkan 27 April lalu dan antara alasan kes tersebut melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar.
Tarikh 31 Mei ini ditetapkan untuk pengurusan selanjutnya.
Menerusi afidavit sokongannya, Muhyiddin berkata, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan atau memutuskan perkara yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, hanya Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mempunyai kepakaran untuk memutuskan perkara sedemikian.
“Adalah lebih wajar bagi prosiding itu didengar dan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa, pengalaman luas serta pemahaman undang-undang mendalam untuk menentukan dan memutuskan isu-isu Perlembagaan,” kata Muhyiddin.
Berhubung permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membatalkan empat pertuduhan mendakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, Rosli berkata, Timbalan Pendaftar Nurshafini Mustafha menetapkan 12 Jun untuk pengurusan kes.
Pada 19 April lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan bagi membatalkan empat pertuduhan yang mendakwa beliau menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.
Ahli Parlimen Pagoh itu memohon dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, selain prosiding kes di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa, keempat-empat pertuduhan itu cacat dan tidak sah.
Sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan. – UTUSAN










