JOHOR BAHRU: Walaupun terpaksa bersendirian ke Mekah, seorang mualaf teruja dan terharu terpilih sebagai tetamu Allah mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Salmy Melati Abdullah, 70, berkata, hasrat menunaikan rukun Islam kelima itu telah menjadi impiannya sejak mengucap dua kalimah syahadah di Kedah pada 1974.
“Sebenarnya saya mendapat surat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) untuk panggilan haji pada 2016, namun ketika itu saya telah berpindah rumah dan surat tersebut sampai setelah terlepas tarikh.
“Kini selepas tujuh tahun, sekali lagi saya dipanggil, dan saya anggap ini sebagai rezeki kerana dapat menunaikan haji dalam keadaan tubuh badan masih sihat, gembira tidak terkata, bersyukur, teruja dan terharu dapat jadi tetamu Allah.
“Insya-Allah semua persiapan telah dilakukan, barangan yang perlu dibawa juga sudah lengkap. Kini saya hanya menunggu tarikh penerbangan, iaitu pada pukul 8 malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai,” katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Flat Sri Stulang, di sini hari ini
Salmy Melati merupakan antara kira-kira 3,000 jemaah haji dari Johor yang akan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Dia yang masih bekerja di sebuah hotel di bandar raya ini memberitahu telah mengerjakan ibadah umrah pada 2016 dan pengalaman itu akan menjadi bekalan bagi dirinya mengerjakan haji kali ini.
“Namun saya difahamkan cuaca ketika ini agak panas dan sudah sediakan pakaian yang tidak terlalu tebal serta bersesuaian dengan keadaan di sana, berbeza ketika buat umrah dahulu, cuacanya sejuk.
“Saya tidak mahu lihat perkara itu negatif, sebaliknya anggap ini cabaran buat diri. Insya-Allah semuanya dipermudahkan,” katanya yang kehilangan suami pada 2004, manakala anak tunggal pula meninggal dunia pada 2021.
Salmy Melati yang kini tinggal bersama menantu dan dua cucunya yang masih bersekolah mengakui keputusan memeluk agama Islam kira-kira 50 tahun lalu adalah pendirian terbaik yang pernah dibuat dalam hidupnya.
“Saya tidak menyesal dengan keputusan ini dan percaya, agama Islam adalah jalan hidup yang saya cari selama ini, dan alhamdulillah, saya bersyukur kerana semua yang saya ada selama ini adalah dengan izin Allah,” katanya. – UTUSAN










