Masih ada majikan ingkar perintah gaji minimum

Masih ada majikan ingkar perintah gaji minimum

Peserta yang mewakili masyarakat dan NGO mengambil bahagian dalam perarakan aman sempena Sambutan Hari Pekerja di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih terdapat majikan yang culas menggajikan pekerja mengikut pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan sejak 1 Mei tahun lalu.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, dalam hal ini kerajaan perlu lebih agresif mengenal pasti majikan yang ingkar supaya kebajikan pekerja terpelihara.

Dakwa Muzaffar Syah, terdapat juga majikan cuba me­ngurangkan kos penggajian dengan memotong elaun sedia ada menyebabkan pendapatan pekerja berkurang.

“Kerajaan perlu melakukan proses pemantauan yang le­bih ketat dan serius terhadap proses gaji minimum dalam negara kita. Ini adalah amat penting bagi memastikan tiada majikan yang masih engkar untuk melaksanakan perintah berkenaan.

“Terdapat pelbagai isu yang melibatkan pelaksanaan pe­rintah gaji minimum dalam negara kita di mana ada sesetengah pekerja yang me­ngadu majikan mereka masih belum sudi untuk melaksanakan gaji minimum serta aduan daripada pekerja berhubung tindakan sesetengah pihak majikan yang memotong elaun dan pengurangan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji baharu.

“Kerajaan juga perlu memantau supaya tiada pekerja yang dinafikan hak mereka untuk menerima gaji minimum selaras dengan pengumuman yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan terdahulu pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata, semua isu berbangkit itu perlu dipandang serius dan disiasat segera bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.

“Jika tidak dipantau, ini akan mencetuskan kekeliruan orang ramai khususnya pekerja yang sedang menghadapi masalah kewangan akibat da­ripada kenaikan kos sara hidup yang berlaku pada ketika ini,” jelasnya.

Pada 2022, kerajaan me­ngumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei dengan penangguhan diberikan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja ditangguhkan daripada 1 Janua­ri kepada 1 Julai 2023.

Tambah beliau, majikan perlu serius terhadap pelaksanaan gaji minimum bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

“Jika tidak ikut, tindakan keras mengikut undang-undang sedia ada boleh dikenakan kepada mereka. Mana-mana pekerja yang berasa diri mereka teraniaya perlu dapatkan bantuan daripada mana-mana pihak yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN