Lucah: KKD berdialog dengan pengendali platform media sosial - Utusan Malaysia

Lucah: KKD berdialog dengan pengendali platform media sosial

TEO NIE CHING (tengah) bergambar dengan penduduk Kulai yang hadir menonton tayangan filem Anwar: The Untold Story di TGV AEON Mall Kulaijaya, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI:  Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan sesi dialog dengan penyedia platform media sosial dalam masa terdekat bagi mengingatkan mereka tentang peruntukan undang-undang berkaitan perkongsian kandungan berunsur lucah di negara ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan penyedia platform seperti Telegram, WhatsApp, Instagram dan Facebook jelas dan memahami bahawa perkara itu tidak dibenarkan serta menyalahi undang-undang yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sesiapa yang menghantar kandungan bersifat lucah, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kita mahu semua penyedia platform memahami isu ini kerana aduan sebegini adalah yang paling kerap diterima,” katanya selepas menonton filem Anwar: The Untold Story di TGV AEON Mall Kulaijaya, di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika mengulas mengenai kewujudan akaun Telegram yang membincangkan topik lucah yang dikendalikan oleh seorang wanita.

Wanita terbabit didakwa menyebarkan fahaman menyimpang daripada syarak berkaitan perhubungan suami isteri serta menggunakan platform kumpulan Telegram untuk menyebarkan dakyah berkenaan.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) tentang kewujudan akaun Telegram yang membincangkan topik lucah.

Beliau turut mengarahkan Jakim untuk membuat pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk meminta agensi itu untuk membimbing serta memberikan nasihat.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Telegram berkaitan isu tersebut dalam masa terdekat bagi mengelakkannya berulang pada masa depan.

“Penyedia aplikasi Telegram sudah diminta untuk bertemu saya. Perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil berkaitan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.