SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bersetuju dengan desakan membenarkan pengeluaran kali kelima duit caruman kerana ketika ini bukan masa kecemasan seperti tempoh penularan Covid-19.
KWSP dan pencarum perlu kembali menghayati matlamat asal penubuhan agensi itu iaitu menyimpan untuk kegunaan hari persaraan.
Bagi pencarum yang masih terdesak, kerajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan pelbagai inisiatif lain sedia membantu mereka bangkit semula membina kehidupan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, hasil kajian pihaknya mendapati hanya pengeluaran kali pertama hingga ketiga iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang benar-benar tulen untuk keperluan harian seperti membeli makanan, barangan dan membayar hutang.
“Tetapi bila masuk Pengeluaran Khas iaitu yang keempat pada masa hari raya tahun lalu iaitu sebanyak lebih RM40 bilion, pengeluaran tersebut lebih kepada benda lain seperti membuat pelaburan termasuk membeli emas dan simpanan kecemasan,” kata beliau dalam pertemuan eksklusif di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa kerajaan tegas dengan pendirian untuk tidak membenarkan lagi siri pengeluaran KWSP meskipun ia keputusan tidak popular bagi memastikan simpanan masa depan pencarum terjamin.
Nurhisham berkata, sebarang keputusan untuk membenarkan pengeluaran kali kelima akan memberi kesan kepada strategi pelaburan jangka panjang KWSP apabila ia tidak dapat melabur sebanyak yang dikehendakinya dan akan memberi impak kepada dividen tahun depan.
RAKYAT
“Sekarang ekonomi negara sudah dibuka balik kerana kebanyakan rakyat telah diberikan suntikan vaksinasi dan peluang pekerjaan sudah banyak. “Memang kita tidak nafikan masih ada orang terjejas, tetapi bila kita tengok dari segi masa biasa, memang ada orang yang kehilangan pekerjaan dan keupayaan.
“Saya kira dekat lebih 40 skim pinjaman untuk usahawan oleh SME Corp. tetapi apabila ditanya kebanyakan tak tahu ada skim ini termasuk yang ditawarkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” kata beliau,
Oleh itu, menurut beliau, KWSP yang kembali kepada masa biasa perlu berpatah balik kepada matlamat asal iaitu simpanan tersebut untuk persediaan hari persaraan pencarum.
Kata Nurhisham, bagi pencarum yang masih terjejas kerajaan telah membuat pelbagai inisiatif seperti menyediakan bantuan dan pinjaman untuk mereka membina semula kehidupan.
INISIATIF
“Kumpulan tersebut perlu merebut inisiatif daripada program-program untuk miskin tegar serta orang yang hendak buka perniagaan,” jelasnya.
Menurut beliau, satu hakikat yang harus diketahui rakyat adalah Malaysia satu-satunya negara yang membenarkan pengeluaran wang persaraan sebanyak empat kali yang semuanya berjumlah RM145 bilion.
“Negara-negara lain yang membenarkan pengeluaran ialah Chile sebanyak tiga kali, Australia sebanyak dua kali pada 2020 dan negara-negara lain hanya sebahagian kecil sahaja yang membenarkan dan itu pun paling akhir pada 2021, kita sahaja yang buat empat kali pengeluaran, kita yang paling banyak (skim), (wang) yang keluar pun yang paling banyak.
“Jumlah yang telah dikeluarkan adalah lebih daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebanyakan negara. Singapura langsung tidak membenarkan pengeluaran daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan keputusan sama dibuat oleh kerajaan India kerana berpegang kepada prinsip wang terbabit untuk simpanan persaraan,” kata beliau.
Sehubungan itu, Nurhisham berkata, semua pihak perlu akur kembali semula kepada tujuan asal penubuhan KWSP sejak 1991 iaitu menyediakan simpanan untuk hari tua iaitu setelah bersara dan matlamat itu tidak pernah berubah.
Bagaimanapun, kata beliau, KWSP masih memberi sedikit kelebihan kepada pencarum untuk membuat pengeluaran bagi tujuan tertentu seperti perumahan, kesihatan dan baru-baru ini pengeluaran mengerjakan haji dan rawatan kesuburan. – UTUSAN










