PETALING JAYA: Daripada 15.72 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hanya empat peratus atau 400,000 pencarum yang mampu bersara selesa dengan memiliki simpanan RM600,000 dan ke atas.
Menurut laporan tahunan KWSP, seramai 165,000 individu mempunyai simpanan sebanyak RM600,000 ke atas, 40,000 (RM600,000 ke RM700,000), 27,000 pencarum (RM700,000 ke RM800,000), 20,000 pencarum (RM800,000 ke RM900,000), 14,000 pencarum (RM900,000 ke RM1 juta) dan lebih 63,000 pencarum memiliki simpanan RM1 juta ke atas.
Daripada laporan itu juga mendapati kira-kira 96 peratus pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai simpanan ideal sebanyak RM600,000 untuk bersara dengan selesa di bandar-bandar utama di Lembah Klang.
Antara puncanya gaji permulaan pencarum yang sangat rendah sebelum gaji minimum dilaksanakan pada 2013 dengan 44 peratus pencarum ketika itu mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 manakala 81 peratus mempunyai pendapatan kurang dari RM5,000.
Faktor lain termasuk caruman tidak konsisten apabila hanya 45 peratus daripada 4.81 juta ahli telah membuat caruman pada 2022, manakala selebihnya tidak membuat sebarang caruman pada tahun lalu.
Malah, hanya separuh daripada tenaga kerja sektor swasta berada di bawah kontrak pekerjaan formal yang diwajibkan untuk membuat caruman kepada KWSP, tidak melibatkan sektor seperti pertanian, pekerjaan tidak formal, pekerja kontrak atau pemilik perniagaan.
HARI TUA
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, angka itu dilihat memang membimbangkan kerana simpanan hari tua itu menunjukkan begitu ramai ahli KWSP yang tidak mampu bersara dengan selesa ketika mencapai usia persaraan.
Menurut beliau, tindakan drastik perlu dilakukan antaranya dengan memperkenalkan inisiatif caruman tambahan kepada ahli yang tidak mempunyai jumlah simpanan sewajarnya dengan usia.
“Ini perlu dilakukan kerana Malaysia merupakan negara yang menua iaitu jumlah warga emas semakin meningkat dan ramai juga warga emas yang bekerja. Ini pentingnya caruman KWSP ditambah untuk memastikan rakyat boleh bersara dengan selesa.
“Jadi, kerajaan juga perlu meneliti malah boleh mengambil contoh dari luar negara yang telah laksanakan kenaikan caruman untuk simpanan hari tua,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Sejak tahun lalu, seramai 846,431 individu berusia 40 hingga 44 tahun didapati hanya memiliki purata simpanan sebanyak RM149,577 dengan simpanan median berjumlah RM103,059, menurut data semasa KWSP.
Menurut penjelasan KWSP, perbezaan besar antara purata dan median dalam setiap lingkungan umur menunjukkan jurang ketidaksamaan yang tinggi antara ahli KWSP, apabila sebahagian kecil ahli memegang simpanan yang lebih besar.
Jumlah simpanan median adalah ukuran lebih sesuai untuk membandingkan tahap simpanan ahli KWSP kerana ia mewakili titik tengah simpanan apabila semua simpanan ahli KWSP diatur mengikut urutan menaik dari jumlah terendah ke tertinggi.
MENCARUM
Ini bermakna, kategori usia 40 hingga 44 tahun perlu mencarum sekurang-kurangnya RM500,000 dalam tempoh 20 tahun untuk meraih RM600,000 yang disarankan KWSP sebelum mencapai usia 60 tahun.
Lebih parah, seramai 932,264 ahli KWSP berusia 40 hingga 44 tahun yang tidak aktif mencarum hanya memiliki purata simpanan sebanyak RM26,109 dengan median simpanan serendah RM3,271.

Ia diikuti seramai 724,406 ahli dalam kategori usia 45 hingga 49 tahun yang memiliki purata simpanan sebanyak RM206,270, manakala 600,964 ahli dalam kategori 50 hingga 54 tahun (purata RM237,426) dan 412,766 ahli dalam kategori 55 hingga 59 tahun (RM203,438).
Lebih mengejutkan, seramai 202,949 ahli yang sudah mencapai usia bersara iaitu 60 hingga 64 tahun mempunyai purata simpanan RM206,818 dengan simpanan median RM42,062 manakala seramai 137,750 ahli berusia 65 tahun ke atas mempunyai purata simpanan RM238,701.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, kajian KWSP mendapati jumlah simpanan yang mencukupi untuk pencarum bersara pada usia 60 tahun sekurang-kurangnya RM600,000.
Jumlah itu untuk dibelanjakan bagi tempoh 20 tahun atau sehingga pesara berumur 80 tahun bagi menampung kos sara hidup tetapi bukan untuk membayar caj perubatan dan membayar baki hutang.
Bagaimanapun, perkiraan itu hanya membabitkan perbelanjaan makan minum bagi pencarum itu semata-mata, jika pencarum itu mempunyai pasangan sama ada suami atau isteri, jumlah simpanan perlu ada untuk hidup selesa ketika bersara adalah RM1 juta bagi yang tinggal di Lembah Klang.- UTUSAN









