PETALING JAYA: Cadangan caruman majikan sebanyak 20 peratus ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding 13 peratus ketika ini tidak masuk akal kerana ia bakal ‘membunuh’ perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) negara ini.
Dalam isu kos sara hidup, kerajaan sepatutnya mencari kaedah lain termasuk mungkin menyalurkan subsidi kepada majikan bagi membolehkan gaji pekerja dinaikkan seiring dengan kenaikan harga barang yang tidak sepadan dengan gaji.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Azmi Mohd. Tahir berkata, jika caruman KWSP bahagian majikan dinaikkan sekalipun, masalah rakyat tetap tidak akan selesai.
Menurut beliau, ini kerana caruman yang dimasukkan ke dalam KWSP tidak boleh diguna untuk melegakan rakyat yang sedang keluh-kesah dengan harga barang yang melambung.
“Rakyat tidak mampu memikir hari tua kerana keadaan semasa sedang mendesak jadi naik atau tidak caruman KWSP daripada majikan tidak membantu rakyat.
“Sebaliknya, jika kerajaan mewajibkan caruman KWSP dinaikkan, sudah pasti majikan berdepan dengan masalah kenaikan kos operasi selain ada yang terpaksa menanggung kerugian tinggi dan lebih malang bungkus terus.
“Ramai majikan juga memerlukan bantuan ketika ini,” kata beliau.
Justeru, kata Azmi, kerajaan perlu melihat aspek gaji pekerja yang tidak sepadan dengan kenaikan harga barang yang berlaku hampir setiap tahun.
Menurut beliau, kerajaan sewajarnya memikir kaedah untuk membolehkan majikan meningkatkan gaji pekerja dan sekali gus jika boleh dilakukan ia membantu rakyat untuk mendepani isu kenaikan kos sara hidup.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri dijangka membincangkan cadangan mengenai tambahan peratusan caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus waktu ini.
CADANGAN
Anwar berkata, beliau mengesahkan bahawa cadangan itu pernah dikemukakan kepadanya, namun, ia belum dirujuk kepada Jemaah Menteri.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan perlu melihat fakta bahawa 90 peratus perniagaan di Malaysia merupakan PMKS.
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh hanya melihat dari sudut syarikat multinasional (MNC) dan syarikat milik kerajaan (GLC) sahaja memandangkan PMKS terpaksa bertarung ‘hidup’ untuk meneruskan operasi dengan hasil bulanan tanpa simpanan selepas pandemik Covid-19.
“MEF tidak mempunyai bantahan sekiranya kerajaan ingin membuka ruang untuk melakukan penambahan kepada mana-mana kumpulan tetapi kumpulan perniagaan PMKS tidak mampu menanggung kos tambahan.
“Kos operasi semakin meningkat tetapi margin keuntungan dalam perniagaan semakin berkurang. Peluang untuk perniagaan baharu juga tidak memberangsangkan apabila wujud pelbagai isu dihadapi baik tempatan mahupun global. Peniaga menderita,” kata beliau ketika dihubungi.
MAJIKAN
Syed Hussain berkata, sekiranya cadangan majikan perlu mencarum sehingga 20 peratus dalam KWSP pekerja, banyak majikan akan berdepan kenaikan kos operasi bagi seorang pekerja iaitu antara lima hingga 10 peratus malah lebih tinggi mengikut gaji serta kemahiran pekerja.
Kata beliau, hasrat untuk menaikkan kadar caruman KWSP perlu dilakukan secara beransur-ansur supaya semua pihak dapat menyesuaikan diri dan menyerap kenaikan kos tersebut.
Selain itu, kata Syed Hussain lagi, meningkatkan peratusan caruman majikan tidak memberi kesan positif kepada pekerja jika kerajaan tidak membenarkan pengeluaran wang simpanan hari tua itu.
“KWSP perlu diuruskan lebih baik contoh jangan terlalu banyak benarkan pengeluaran daripada simpanan persaraan sehingga ada pencarum hampir tiada simpanan.
“Meningkatkan sumbangan tetapi mengekalkan pendekatan yang sama tidak akan membantu sesiapa pun. Langkah berkenaan tidak akan menyelesaikan isu berkaitan. Sebaliknya, kerajaan mesti segera menghentikan sebarang pengeluaran daripada KWSP.
“Kerajaan mesti mencari cara lain di mana kerajaan boleh menyumbang kepada simpanan persaraan rakyat. Ini adalah tanggungjawab kolektif pekerja, majikan dan kerajaan. Bukan tanggungjawab majikan sahaja,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, cadangan tersebut memerlukan perbincangan dan perundingan lanjut dengan pihak berkepentingan supaya pandangan majikan akan dipertimbangkan sepenuhnya sebelum dasar tersebut dilaksanakan. – UTUSAN










