KWSP 20%: Ramai akan dibuang kerja

KWSP 20%: Ramai akan dibuang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Usahawan mikro, kecil dan sederhana mungkin terpaksa membuang sebahagian pekerja sekiranya cadangan menaikkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan kepada 20 peratus dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Foo Ngee Kee berkata, tambahan lapan peratus itu akan menjadi satu beban yang besar kepada usahawan PKS terutama usahawan mikro.

Tambahan pula, katanya, ketika ini, usahawan mikro sudah cukup terbeban dengan penguatkuasaan gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula Julai ini.

KOS TAMBAHAN

“Sekiranya caruman KWSP juga turut dinaikkan maka, kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh majikan akan menjadi lebih tinggi.

“Majikan bukan hanya perlu membayar tambahan gaji minimum RM300 bagi setiap pekerja malah, perlu mencarum sehingga 20 peratus sebulan.

“Pengusaha PKS termasuk usahawan mikro belum pulih sepenuhnya daripada impak pandemik Covid-19. Jadi, me­ngambil kira semua faktor itu, sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan caruman KWSP sebanyak 20 peratus,” katanya.

Menurut Ngee Kee, usahawan mikro mencatatkan keuntungan kurang daripada RM300,000 setahun. Malah, dalam tempoh sebulan, ada usahawan yang mencatatkan keuntungan antara RM10,000 hingga RM20,000 sahaja.

“Jadi, bayangkan bebanan kos operasi yang perlu ditanggung oleh pengusaha sekiranya pelaksanaan gaji minimum dan caruman KWSP sebanyak 20 peratus dilaksanakan serentak. Keadaan ini mungkin mengakibatkan le­bih ramai pekerja terpaksa diberhentikan kerana majikan tidak mampu menanggung kos upah yang tinggi,’’ katanya.

MASA DEPAN

Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, caruman 20 peratus untuk KWSP mampu menyelamatkan masa depan pekerja selepas mereka bersara.

Katanya, Malaysia merupakan negara menua iaitu jumlah warga emas semakin meningkat dan ramai juga warga emas yang masih bekerja.

“Ini pentingnya caruman KWSP ditambah untuk memastikan rakyat boleh bersara dengan selesa. Bagaimanapun, kerajaan juga perlu meneliti malah boleh mengambil contoh daripada luar negara yang telah laksanakan kenaikan caruman untuk simpanan di hari tua,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN