Konvensyen Kerajaan Perpaduan perkukuh strategi hadapi PRN - Utusan Malaysia

Konvensyen Kerajaan Perpaduan perkukuh strategi hadapi PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

PILIHAN Raya Negeri (PRN) dan kestabilan politik merupakan dua agenda bakal mengisi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan julung kalinya pada hari ini.

Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang sinonim dengan Perhimpunan Agung UMNO, buat pertama kali Pakatan Harapan (PH) duduk sepentas dengan bekas seteru, Barisan Nasional (BN) untuk membincangkan strategi memperkukuh dan mengemas gerak kerja Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, yang menjadi persoalan utama penganjuran konvensyen iaitu sejauh mana kebersamaan parti-parti Kerajaan Perpaduan ekoran beberapa isu khususnya membabitkan perang mulut sesama mereka, ketidaksudahan agihan kerusi PRN dan kemaraan Gelombang Hijau yang ditunjangi Perikatan Nasional (PN).

Apatah lagi pertemuan pe­mimpin PN bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini bagi menyokong Proklamasi Orang Melayu untuk menyatukan orang Melayu, ia secara tidak langsung menghangatkan kemaraan gelombang itu dalam tempoh PRN berbaki sebulan dua bulan lagi.

Justeru, pendukung Kerajaan Perpaduan perlu mencari formula untuk menangkis kemaraan itu jika mereka mahu relevan di mata rakyat apatah lagi mengelakkan Selangor yang kini menjadi sasaran PN daripada tumbang.

Antaranya mereka perlu menyelesaikan persepsi pengundi Melayu terhadap DAP manakala bagi UMNO pula, mereka perlu menangani penolakan rakyat kepada parti itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang masih belum selesai sehingga kini.

Selain itu, pemimpin Kerajaan Perpaduan perlu memfokuskan pemulihan ekonomi dan mencari penyelesaian terbaik untuk menangani kos sara hidup yang membelenggu rakyat masa kini di samping mengelakkan retorik politik berpanjangan.

Pemimpin PH pula perlu berhenti bersikap pembangkang apabila mereka sewajarnya menjadi mata telinga rakyat untuk membawa keluh kesah orang ramai menerusi meja perbincangan, bukannya secara terbuka di media sosial yang secara tidak langsung menunjukkan mereka dipercayai sudah berpecah.

Pada masa sama, parti lain seperti Parti Warisan Sabah, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahte­raan Demokratik Masyarakat (KDM) tidak boleh lagi menjadi sekadar ‘penyeri’ kepada kekuatan dua pertiga, sebalik­nya mereka perlu memainkan peranan signifikan dalam Kerajaan Madani di samping diberikan tugas sebagai jurucakap kerajaan.

Sehubungan itu, konvensyen bertemakan ‘Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia’, semua 19 parti politik dalam gabungan itu perlu melaksanakan segera agenda deklarasi Kerajaan Perpaduan yang bakal dimeterai pada petang ini, jika tidak ia menjadi sekadar kertas kosong.

Sekalipun keutuhan Kerajaan Perpaduan kebelakangan ini digugat dengan desas-desus bahawa akan ada Ahli Parlimen kerajaan beralih arah kepada PN, namun andaian itu ternya­ta meleset dengan perhimpunan ini yang disertai kira-kira 10,000 perwakilan daripada 19 parti politik dalam gabungan itu.

Akhir sekali, mereka perlu bersatu mempertahan kerajaan ini untuk tempoh satu penggal sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada 2026 demi kemaslahatan 30 juta rakyat Malaysia bagi mengelakkan episod pertukaran tiga Perdana Menteri seperti mana telah berlaku selepas 2018.

Konvensyen bermula pukul 10 pagi ini dimulakan de­ngan pelbagai pengisian dan acara kemuncak konvensyen pula dengan amanat Perdana Menteri selaku Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan serta menyaksikan persetujuan deklarasi Kerajaan Perpaduan pada 3.30 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya