Kerajaan Johor tak pekak, bisu - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Kerajaan Johor tak pekak, bisu – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI mengadakan lawatan ke Pusat Warisan India di Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak pekak, buta dan bodoh dengan membiarkan isu asas daripada terus berlarutan sehingga membebankan kehidupan rakyatnya.

Tegas Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas dasar menjadi sebab beliau kerap membuat tinjauan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi menyelesaikan isu kesesakan di pintu sempadan utama negara itu daripada terus berlarutan dan memberi kesan kepada kira-kira 300,000 orang yang berulang-alik setiap hari ke negara jiran.

“Sebab itu, saya mengambil pendekatan untuk turun padang dan melihat sendiri apa yang berlaku, kerajaan negeri yang saya pimpin ini tidak pekak, buta dan bodoh. Kami tidak akan berpura-pura seakan-akan isu ini tidak pernah berlaku dan sudah berlarutan sejak sekian lama. Kami berhasrat untuk atasi isu ini secara habis-habisan dan kita perlu bersatu hati bagi menangani isu yang membelenggu rakyat Johor.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu di CIQ dan saya tidak akan berehat sehinggalah isu ini selesai untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih baik,” katanya semasa merasmikan Pusat Warisan India di Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar.

Tindakan Onn Hafiz melakukan tinjauan dan pemeriksaan mengejut di CIQ bukan lagi rahsia setelah beliau kerap turun padang melihat perjalanan proses rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, isu asas lain turut akan diberikan perhatian dalam memastikan hasrat kerajaan negeri mencapai negeri maju menjelang 2030 mampu direalisasikan, antaranya, isu kekurangan doktor di hospital awam di negeri ini yang boleh menjejaskan perkhidmatan di hospital tersebut.

“Di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sahaja mengalami kekurangan seramai 200 doktor, itu belum termasuk Hospital Sultan Ismail (HSI) serta hospital awam di Kluang, Batu Pahat dan sebagainya.

“Isu lain ialah jalan raya, keadaan kualitinya tak ubah macam zaman perang dunia kedua. Bukan sahaja banyak kerosakan dan jalan berlubang, tapi menyebabkan berlaku kemalangan, sampai bila kita nak biarkan ini berlaku?

“Itu belum sentuh soal banjir, pencemaran, sungai kotor dan sebagainya lagi. Sekiranya kita ingin menjadi negeri maju, perkara asas ini perlu diselesaikan dahulu. Nak menjadi negeri maju bukan setakat mampu menarik pelabur asing, malah menjaga keselesaan rakyatnya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya