Keputusan kes bekas setiausaha KBS ditangguh kali keempat

Keputusan kes bekas setiausaha KBS ditangguh kali keempat

OTMAN Arsahd hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan kes rasuah dan pengubahan wang haram. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd perlu menunggu sehingga 6 Julai ini bagi mengetahui nasibnya sama ada disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, 11 tahun lalu.

Keputusan akhir kes pembelaan yang sepatutnya ditetapkan hari ini ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas Hakim Kamarudin Kamsun memaklumkan beliau belum bersedia mengumumkannya.

Sambil memohon maaf, hakim berkenaan menyatakan beliau perlu meneliti beberapa perkara sebelum membuat keputusan kes berkenaan dan mengarahkan tarikh baharu ditetapkan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman dan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol tidak membantah tarikh tersebut.

Prosiding itu ditangguhkan sebanyak empat kali termasuk hari ini. Keputusan sepatutnya diumumkan pada 30 Mac lalu namun ditangguhkan kepada 19 April kerana pihak pembelaan memohon masa memfailkan hujahan tambahan.

Pada 19 April, kes sekali lagi ditangguhkan sehingga 12 Mei selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan atas alasan yang sama.

Bagaimanapun, pada 12 Mei, kes ditangguhkan ke hari ini kerana mahkamah tidak bersidang pada hari tersebut.

Kes itu sudah berlangsung selama tujuh tahun sejak Otman, 64, didakwa pada pada 31 Mac 2016 manakala pihak pembelaan menutup kes pada 29 November 2022 setelah mengemukakan keterangan tertuduh yang merupakan satu-satunya saksi pembelaan.

Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta.

Kejadian didakwa dilakukan di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini di antara 28 Februari 2012 dan 18 November 2015.

Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 dan 11 Disember 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya