KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki yang diterbangkan menerusi penerbangan ihsan Tentera udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pulau Tioman, Rompin, dekat sini malam kelmarin bukan mengalami strok haba seperti tular di laman sosial.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, hasil pemeriksaan lanjut kanak-kanak berusia lapan tahun itu disahkan mengalami jangkitan kuman pada otak.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit ada mendapatkan rawatan dengan simptom sawan setelah mengalami demam, muntah dan keletihan selama dua hari sebelumnya.
“Hasil siasatan mendapati kes dirujuk dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada pukul 11.45 malam kelmarin.
“Pesakit seterusnya dirawat di Jabatan Kecemasan HTAA dan menjalani siasatan melalui CT Scan, pengambilan darah dan diberikan rawatan selanjutnya.
“Pesakit dalam keadaan stabil dengan diagnosis adalah meningoencephalitis iaitu jangkitan pada otak dan bukan strok haba seperti tular sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini tular di laman sosial dan tentang seorang kanak-kanak lelaki dipercayai mengalami strok haba.
Kanak-kanak yang menetap di Pulau Tioman itu diterbangkan menaiki helikopeter EC725AP milik TUDM yang berpengkalan di 10 Skuadron Pengkalan Udara Kuantan itu selamat mendarat sekitar pukul 11.30 malam, di sini.
Mengulas lanjut, Dr. Nor Azimi berkata, pesakit seterusnya dimasukkan ke Wad Kanak- Kanak HTAA untuk rawatan selanjutnya.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlaku kesan kesihatan berikutan cuaca panas ketika ini.
“Hasil maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu harian di Pahang adalah kurang dari 35 darjah celsius dan masih terkawal.
“Orang ramai boleh memantau status gelombang haba di negeri dan daerah masing-masing melalui laman sesawang MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/,” katanya.










