Bakal tunai haji bersama isteri, doakan segalanya dipermudahkan - Ezad Lazim - Utusan Malaysia

Bakal tunai haji bersama isteri, doakan segalanya dipermudahkan – Ezad Lazim

Ezad Lazim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya bakal menunaikan ibadah haji selama 45 hari dan berangkat ke tanah suci pada 30 April ini. Doakan segalanya dipermudahkan. Saya ada sedikit kerisauan sebab tidak pernah pergi ke sana.”

Demikian kata penyanyi kumpulan Exists, Ezad Lazim yang sudah menerima seruan untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri, Zeana Ramli, pada tahun ini.

Kata Ezad, dia banyak bertanya mengenai perihal haji dengan rakan seperjuangannya, Along Exists dan Shah Slam, selain mendedahkan bakal merakamkan lagu terbaharu kumpulan itu selepas pulang ke tanah air.

“Saya banyak bertanya pada Along dan Shah yang sudah berpengalaman. Balik dari sana nanti, kami akan terus fokus pada konsert dan rakaman lagu,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Exists Memento Mori, semalam.

Ezad bagaimanapun mengakui dirinya berat hati untuk meninggalkan dua anaknya, Puteri Rania Keisha, 13, dan Putra Muhammad Darwish, 11, yang dalam tempoh yang lama.

“Insya-Allah, keluarga terdekat akan jagakan anak-anak jika mereka ada kesempatan. Sebelum ini saya ada pembantu rumah tetapi dia tidak pulang semula selepas balik ke Indonesia.

“Namun, saya sudah mendapat pembantu rumah yang baru. Harap-harap pembantu itu okey kerana dia akan banyak menghabiskan masa dengan anak-anak. Saya akan pantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di rumah.

“Ibu mentua saya juga ada menyatakan hasrat untuk menjenguk anak-anak, namun saya tidak mahu membebankannya kerana beliau baru saja menjalani pembedahan akibat kanser,” jelasnya.

Tambah penyanyi lagu Alasanmu itu, dia menyerahkan segala urusan kepada Sang Pencipta dan berharap anaknya dijaga dengan baik sepanjang ketiadaannya bersama isteri.

“Saya bersyukur kerana kedua-dua anak saya boleh dikatakan sudah pandai menguruskan diri untuk ke sekolah. Apa pun saya tawakal sahaja dan berharap Allah peliharalah mereka sepanjang kami berada di Tanah Suci,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ezad bersama enam anggota kumpulan Exists yang lain bakal menjayakan konsert Exists Momento Mori di Unifi Arena Bukit Jalil, 1 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN