Krisis tenaga: Kerajaan pertimbang hadkan pergerakan Menteri

Krisis tenaga: Kerajaan pertimbang hadkan pergerakan Menteri

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan bakal mengambil langkah drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan situasi bekalan diesel negara yang semakin kritikal ketika ini.

Anwar berkata, antara langkah yang akan diambil termasuk kemungkinan mengehadkan pergerakan ahli Kabinet dan kementerian, bagaimanapun ia tertakluk kepada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan secara berkala.

Katanya, langkah itu perlu bagi mengelakkan Malaysia berhadapan dengan fasa catuan tenaga seperti yang berlaku di beberapa negara lain ketika ini susulan krisis bekalan global.

“Kita perlu cari jalan mengurangkan penggunaan tenaga. Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuklah amalan kerja dari rumah dan langkah-langkah lain yang dirasakan perlu.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana setakat ini, bekalan minyak masih ada, saya ingat hingga penghujung bulan Jun. Tetapi diesel sudah mula hadapi masalah. Jadi sebab itu kita kena ambil beberapa langkah dan akan diumumkan dari masa ke masa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.

Tambah Perdana Menteri, MTEN kini bersidang setiap dua hari sekali bersama kementerian dan pihak berkaitan untuk memantau situasi bekalan tenaga negara secara dekat.

“Kerana langkah ini sudah kritikal. Kita tidak boleh tangguh lagi kerana sebarang kelewatan dalam mengambil tindakan bakal menjejaskan ekonomi dan kehidupan harian rakyat sekiranya berlaku kekurangan bekalan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keperluan menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) dalam situasi bekalan tenaga ini, Anwar berkata, perkara itu masih belum dibincangkan buat masa ini.

Ditanya mengenai sama ada Pakatan Harapan (PH) akan bertanding solo pada PRN itu nanti, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, perkara itu akan dibincangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN