PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk menyemak semula harga air mentah dijual ke Singapura yang disifatkan pada kadar tidak munasabah selepas 61 tahun.
Kadar harga air mentah yang disalurkan ke negara republik itu sebelum ini sudah melalui beberapa rundingan pada 1998 hingga 2002 dan 2018, namun gagal mencapai kata sepakat.
Ketika ini, Perjanjian Air Sungai Johor 1962 membenarkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air dari Sungai Johor sehingga 2061 pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.
TIDAK SETUJU
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Governan Persekitaran dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, rundingan antara 1998 hingga 2002 sebelum ini gagal selepas kerajaan Malaysia tidak bersetuju dengan harga yang dicadangkan pemerintah Singapura.
Katanya, ini kerana pemerintah negara republik itu sebelum ini mencadangkan kadar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061.
Jelasnya, Malaysia bagaimanapun tidak bersetuju dengan kadar itu dan meminta Singapura membayar 60 sen bagi 1,000 gelen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 bagi 1,000 gelen sehingga 2011, namun negara republik itu menolak.
“Isu berkaitan air antara kedua-dua negara selepas itu dibangkitkan semula pada 2018 semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh.
“Rundingan ketika itu pun tidak berjaya selepas Singapura menggunakan alasan bahawa Malaysia hilang hak untuk mengkaji semula harga air mengikut perjanjian yang dibuat pada 1962.
“Itu sahaja yang terakhir, selepas itu tidak ada buat semakan walaupun Perdana Menteri dan kerajaan bertukar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
SEJARAH
Sejarah perjanjian air antara Malaysia dan Singapura pertama kali ditandatangani pada 5 Disember 1927, namun perjanjian itu terbatal dan tidak lagi diguna pakai.
Kerajaan Persekutuan Malaya kemudian memutuskan menandatangani satu lagi perjanjian dipanggil Perjanjian Air Singapura-Johor pada 1 September 1961 yang memberikan negara republik itu hak mendapatkan 86 juta gelen air sehari sehingga tahun 2011 dengan ia sepatutnya sudah tamat.
Bagaimanapun, Perjanjian Air Sungai Johor 1962 ditandatangani pada 29 September 1962 yang memberikan hak sehingga tahun 2061 itu turut membolehkan Singapura menjual semula bekalan air terawat kepada Malaysia pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Mengulas lanjut, Dr. Haliza berkata, semakan semula perlu dilaksanakan kerana air merupakan sektor yang paling terkesan dalam menghadapi perubahan iklim.
Malah katanya, saintis juga menjangkakan 2023 menjadi tahun paling panas disebabkan kesan El Nino dan pemanasan global.
“Harga itu tidak munasabah terutamanya dalam menghadapi fenomena El Nino, kita tidak tahu betapa serius fenomena yang dihadapi ini, jadi jika dalam negeri pun tidak cukup, mengapa perlu jual.
“Sebelum ini pun kita boleh lihat sendiri betapa kritikalnya isu air di Malaysia. Misalnya, isu krisis air 1997/1998 akibat El Nino menyebabkan catuan air kepada 1.8 juta penduduk di Lembah Klang dan isu air di Kedah serta di Kelantan.
“Semua ini menunjukkan jika dalam negeri pun air tidak cukup untuk kegunaan domestik, maka ‘eksport’ air ke negara lain perlu dikaji semula.
“Oleh itu mungkin kena cari berapa sen rakyat Malaysia bayar untuk berapa meter padu, jadi kita boleh bandingkan dan tetapkan pada harga yang munasabah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Laboratori di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM itu berkata, pihaknya percaya semakan itu tetap boleh dilaksanakan mengikut perundangan biarpun Singapura mengemukakan alasan negara sudah hilang hak.
Katanya, ini kerana ia mengambil kira takrifan pemahaman terhadap Klausa 14 Perjanjian Air Sungai Johor 1962 itu yang menyebut ‘bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987, kedua-dua belah pihak dibenarkan mengikut perundangan menyemak semula harga berkenaan’. – UTUSAN










