Johor pertimbang bangunkan semula TUTA, kos baik pulih tinggi - Utusan Malaysia

Johor pertimbang bangunkan semula TUTA, kos baik pulih tinggi

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (kiri) meninjau keadaan blok 16 di Flat Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru yang mengalami banyak kerosakan dan usang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk melaksanakan pembangunan semula di kawasan flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), di sini yang sudah berusia 40 tahun dan mengalami pelbagai kerosakan dan usang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, langkah itu antara yang dibincangkan selepas mengambil kira kos penyelenggaraan dan baik pulih kesemua 44 blok di situ menelan belanja RM26.3 juta.

Beliau berkata, keputusan itu akan dimuktamadkan selepas pihaknya bersama-sama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melakukan projek perintis membaik pulih blok 16 di kawasan flat berkenaan.

“Untuk satu blok sahaja, kita terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM1.8 juta. Oleh kerana rumah ini sudah berusia 40 tahun, maka terdapat pelbagai masalah dan kos yang diperuntukkan sama seperti membina rumah baharu.

“Sebenarnya, daripada kira-kira yang telah kita buat, adalah lebih baik membina flat baharu bagi penduduk di sini daripada membuat kerja membaik pulih yang menelan kos sebanyak ini.

“Adakah berbaloi untuk kita melakukan kerja membaik pulih namun selepas mungkin tiga tahun, masalah lama berulang lagi? Atau lebih baik melakukan pembangunan semula dengan membina blok baharu yang sudah tentu boleh tahan sehingga 40 tahun akan datang? Ini yang perlu kita lihat daripada hasil projek perintis ini,” katanya selepas menghadiri aktiviti ‘plogging’ Johor Bersih di Flat TUTA, di sini hari ini.

Isnin lalu, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda terhadap tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat-flat kos rendah di negeri ini yang dalam keadaan daif serta dipenuhi sampah-sarap sehingga menjadi tempat pembiakan serangga.

Mohd. Jafni berkata, blok 16 dipilih sebagai projek perintis ekoran keadaannya yang paling kotor dan mengalami banyak masalah dan kerosakan pada siling dan bumbung, saliran dan perparitan, mengecat bangunan, sistem perpaipan dan pendawaian elektrik. 

Projek perintis itu di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBIP dengan segala kos bagi kerja-kerja membaik pulih  blok yang mempunyai 72 unit kediaman ditanggung sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit dan dijangka bermula Oktober ini serta dijadualkan siap pada hujung tahun ini.

“Kerja-kerja pembersihan sudah bermula, tapi dari segi e-perolehan melibatkan sebut harga dan tender, ini biasanya ambil masa sebulan. Kita jangka pada hujung tahun ini, projek perintis ini akan siap dan akan dijadikan penanda aras bagi flat lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.