Hampir 100 syarikat di Melaka enggan carum Perkeso

Hampir 100 syarikat di Melaka enggan carum Perkeso

ABD. RAZAK Omar bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka akan mengadakan operasi besar-besaran mengesan majikan yang belum mendaftarkan pekerja, bermula Julai ini.

Pengarah Perkeso negeri, Abd. Razak Omar berkata, seramai 80 anggota dikerahkan mengesan sekitar 100 syarikat yang masih berdegil tidak mahu mencarum dengan agensi berkenaan.

Menurutnya, hasil pemerhatian dijalankan mendapati, dianggarkan sebanyak 18 peratus majikan di negeri ini belum berbuat demikian.

“Begitupun, sepanjang tempoh Mei hingga Jun ini, Perkeso melaksanakan bulan pemutihan bermula 1 Mei lalu bagi memberi lebih peluang dan ruang kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka secara sukarela.

“Selepas tamat tempoh bulan pemutihan diadakan, baru kita akan mengadakan operasi besar-besaran siang dan malam bagi mengesan majikan yang degil, yang tidak mendaftarkan pekerja mereka.

“Kegagalan majikan mencarum untuk pekerjanya merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 94 dan sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Faedah Pencen Penakat berjumlah RM916.67 kepada Nur Aleeza Othman, 31, isteri kepada Allahyarham Sazali Mohamad, 36, yang maut dalam kemalangan motosikal tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tambah Abd. Razak, setakat ini sebanyak 42,000 majikan melibatkan seramai 320,000 pekerja termasuk pekerja warga asing daripada pelbagai sektor telah mendaftar sebagai pencarum.

Menurutnya, masih ramai majikan tidak mencarum dengan memberi pelbagai alasan seperti pekerja sambilan yang masih belum diserap sebagai pekerja tetap.

“Setiap syarikat telah dimaklumkan apabila mereka mengaji seorang pekerja, majikan terbabit wajib mendaftarkan dengan Perkeso dalam tempoh 30 hari,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN