SANDAKAN: Lebih 400 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas 200 buah rumah atas air yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, kebakaran merebak pantas berikutan kawasan penempatan yang padat dan faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain sehingga api sukar dikawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 35 anggota dari BBP Sandakan dan BBP Kinabatangan dikerah bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan penempatan rumah tidak kekal dengan anggaran keluasan kira-kira 300 kaki persegi dan hampir 100 peratus musnah.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan, manakala bantuan dari BBP Kinabatangan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sumber air diperoleh daripada lori tangki dan pili bertekanan tinggi milik sebuah kilang berhampiran.
“Operasi pemadaman berdepan beberapa cabaran termasuk laluan sempit yang menyukarkan pergerakan jentera ke lokasi kejadian.Keadaan air laut surut turut menjejaskan usaha mendapatkan sumber air terbuka,” katanya.
Jimmy berkata, tiada laporan mangsa terlibat dan kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya sehingga pukul 10 pagi tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, seramai 445 mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan PPR Batu Sapi.-UTUSAN.










