Ini keajaiban, tiada yang mustahil - anak Jaslinda - Utusan Malaysia

Ini keajaiban, tiada yang mustahil – anak Jaslinda

NURIN Darwisyah Mohd Faizal bersama ibunya, Jaslinda Saludin yang tiba di Hospital Tapah. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: “Ini keajaiban Allah yang maha besar, tak ada yang mustahil’.

Itu kata anak sulung Jaslinda Saludin, 49, pendaki wanita yang dijumpai hari ini selepas hampir dua minggu hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih di sini.

Nurin Darwisyah Mohd Faizal, 26, bersyukur kerana ibunya akhirnya dijumpai selepas hampir dua minggu pencarian dilakukan.

“Alhamdulillah sudah tentu saya seronok, sangat bersyukur kerana doa kami dimakbulkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, setelah ibunya selamat ditemukan, dia mahu ibunya berehat dan mereka akan kembali ke Kuala Lumpur setelah semua urusan di sini selesai.

“Kalau boleh saya nak ibu berehat dulu, tenang-tenang dulu. Kami nak kembali kepada  kehidupan kami seperti yang biasa saya dan keluarga kecil saya. Kami cadang nak balik ke Kuala Lumpur.

“Mengenai mendaki, kami tengok dulu. Kalau ibu masih nak mendaki boleh tapi kena pergi bersama-sama keluarga,” katanya.

Seorang lagi anak Jaslinda, Dhia Damia Mohd Faizal, 21, pula berkata, hari ini merupakan hari yang sangat menggembirakan selepas 14 hari menunggu berita mengenai pencarian ibu mereka.

Katanya, dia rasa sangat bersyukur apabila ibunya ditemukan dalam keadaan selamat.

“Ini keajaiban Allah yang maha besar, tak ada yang mustahil. Ini berkat doa semua pihak.

“Sepanjang tempoh pencarian, hati saya tak tenang, nak tidur pun susah, hati berat tapi sambil menunggu usaha pencarian, kami percaya kuasa Allah, yakin dengan doa memang tidak pernah putus, dengan kata-kata semangat semua orang dan yakin ibu saya kuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN